Risalah Al-Qur’an – Prakata

Page 8

Makna yang sama dirujuk dalam al-Qur’an pada istilah ini tentang kitab-kitab suci yang terawal: kerana al-Qur’an sering menegaskan bahawa catatan suci terdahulu telah banyak tercemar dan diseleweng dalam jarak masa yang panjang, dan “kitab” suci yang masih ada kini tidak benar-benar mewakili wahyu asal yang diturunkan. Sehubungan dengan itu, terjemahan ahl al-kitab sebagai “masyarakat al-kitab” tidak begitu bermakna; menurut pandangan saya, kerana istilah ini sepatutnya diterjemah sebagai “pengikut wahyu terdahulu”.

Ringkasnya, bagi memahami maksudnya dalam bahasa lain, risalah al-Qur’an harus disampaikan sebagai suatu perumusan, sedekat mungkin, daripada nilai yang dirasai oleh generasi Islam yang tidak dibebankan dengan gambaran dan konsep yang lahir dalam perkembangan Islam berikutnya; dan ini adalah landasan dan prinsip yang memandu saya sepanjang penulisan ini.

Dengan pengecualian dua istilah, saya telah usahakan untuk memadankan setiap konsep al-Qur’an dengan ungkapan Inggeris secara tepat – usaha yang kadangkala memerlukan penggunaan ayat yang penuh untuk menyampaikan maksud daripada satu perkataan Arab. Dua pengecualian daripada hal ini adalah istilah al-Qur’an dan surah, kerana keduanya digunakan dalam bahasa Arab tidak lain untuk menerangkan nama bagi mashaf suci ini dan setiap pembahagian atau “segmen”nya,: dan tiada sebarang faedah jika dikemukakan “terjemahan” bagi kedua-dua istilah ini.

Selain daripada pertimbangan bahasa ini, saya telah cuba setulusnya untuk berpegang pada dua prinsip utama dalam penterjemahan.

Pertama, al-Qur’an tidak harus dilihat sebagai kompilasi hukum dan dakwah secara terpisah tetapi adalah satu paduan dan rangkaian menyeluruh: iaitu, penjelasan akan kemurnian doktrin yang mana setiap ayat dan lafaz mempunyai hubungan rapat dengan ayat dan lafaz yang lain, semuanya menjelaskan dan menyempurnakan satu sama lain. Lantaran itu, maksudnya yang sebenar hanya boleh digarap jika kita menghubungkan setiap pernyataannya dengan apa yang dinyatakan di tempat lain, dan cuba menzahirkan idenya dengan kaedah perbandingan, mengaitkan hal yang khusus kepada yang umum dan pengertian zahir kepada maksud yang tersirat.