Risalah Al-Qur’an – Prakata

Page 9

Selama hukum ini diikuti sepenuhnya, kita akan menyedari bahawa al-Qur’an adalah – dalam ungkapan Muhammad ‘Abduh – “tafsirnya yang terbaik”.

Kedua, tiada bahagian dalam al-Qur’an harus dilihat dari sudut pandangan sejarah semata-mata: iaitu semua rujukannya tentang peristiwa dan kejadian sejarah – baik dalam zaman Nabi dan zaman yang lebih awal – haruslah dianggap sebagai ilustrasi tentang kondisi manusia dan tidak berakhir dengannya.

Oleh itu, pertimbangan sejarah mengenai sebab penurunan sesuatu ayat – suatu kajian yang sangat rapat, dan diraikan, oleh pentafsir klasik – haruslah tidak mengenepikan landasan dan makna asal ayat tersebut dan hubungannya dengan ajaran akhlak yang diseru dan dirumuskan oleh al-Qur’an.

Bagi mengeluarkan, dengan seluruh daya dan keupayaan saya, pelbagai pengertian dalam mesej al-Qur’an, saya memandang wajar untuk disertakan beberapa nota penjelasan. Pemerhatian tertentu berhubung dengan pernyataan simbolik dalam al-Qur’an dan makna eskatologinya telah dirumuskan dalam Lampiran I yang dilampirkan di sudut akhir terjemahan ini.

Dalam setiap nota dan lampiran saya telah cuba jelaskan mesej al-Qur’an dan telah, pada akhirnya, merujuk pada karya-karya besar ahli filologi Arab dan ahli tafsir klasik. Jika, dalam keadaan tertentu, saya terpaksa mengambil pendekatan berbeza daripada interpretasi yang dikemukakan oleh pentafsir awal, maka pihak pembaca haruslah sedar bahawa keunikan al-Qur’an berakar daripada keluasan jangkauannya yang mana lebih banyak pengetahuan dunia dan pengalaman sejarah yang didapati, lebih banyak makna, tanpa dijangka, yang dizahirkan dalam mushaf ini.

Pemikir agung kita di zaman lampau telah menggarap permasalahan ini dengan cukup baik. Dalam membuat tafsiran, mereka mendekati al-Qur’an dengan kekuatan aqal: iaitu, mereka cuba menjelaskan maksud daripada setiap pernyataan al-Qur’an dengan kekuatan ilmu bahasa yang dimiliki dan pengajaran Nabi – yang disampaikan dalam sunnah Baginda – dan juga daripada khazanah ilmu yang terdapat di zaman mereka dan juga daripada pengalaman sejarah dan budaya yang mewarnai tamadun masyarakat waktu itu.

Justeru, adalah lazim bahawa cara seorang pentafsir memahami sesuatu ayat atau ungkapan al-Qur’an adalah berbeza – dan kadangkala sangat jauh – daripada makna yang dinyatakan oleh seseorang pentafsir yang mendahuluinya. Dengan perkataan lain, interpretasinya sering bercanggah: tetapi mereka melakukan hal ini tanpa sebarang kekhilafan, kerana menyedari perbezaan relatif dalam keupayaan aqliah insan, dan keikhlasan setiap pentafsir. Dan mereka cukup faham, dengan penegasan Nabi, “Perbezaan pendapat (ikhtilaf) di kalangan umatku adalah [kesan] daripada rahmat Tuhan (rahmah)” – yang jelas menunjukkan bahawa perbezaan pandangan adalah asas dalam semua kemajuan pemikiran manusia dan, dengan itu, pendorong terkuat yang menggerakkan manusia meneroka ilmu.