Apa yang boleh dilakukan oleh Dunia Muslim bagi menyelamatkan masyarakat Uyghur dan Islam di China.

December 15, 2019 by Olsi Jazexhi


Dr. Olsi Jazexhi || 15 Disember 2019

Antara 16 sehingga 25 Ogos 2019, saya telah diundang oleh Pejabat Penerangan Majlis Negara China dan Xinjiang untuk melawat Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang di Republik Rakyat China. Saya hadir bersama rakan wartawan yang telah dihantar bagi melawati dan meninjau keadaan di 3 bandar utama di China; Urumqi, Aksu dan Kashgar. Lawatan kami ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan China dan diuruskan oleh pihak berkuasa Xinjiang yang cuba meyakinkan kami bahawa keadaan di Xinjiang adalah baik dan terkawal.

Saya tiba di Urumqi pada 16 Ogos, dan bermula pada 17 Ogos, kami telah menghadiri siri ceramah yang dikendalikan dan disampaikan oleh pegawai Parti Komunis yang menyentuh berkenaan sejarah, agama dan hak asasi manusia yang diamalkan di Xinjiang. Dalam sesi-sesi rasmi ini, pegawai-pegawai kerajaan seperti Xu Guixiang dan Ma Pinyan telah membentangkan kepada kami kertas putih yang dikeluarkan oleh Kerajaan China dan terkandung dalamnya maklumat berkenaan Xinjiang.

Dalam ceramah inilah kami dimaklumkan masyarakat Uyghur dan kelompok masyarakat Turkik Muslim lainnya adalah pendatang, dan agama Islam merupakan agama yang dipaksakan oleh orang Arab dan Turkik, dan Xinjiang itu sememangnya sebahagian daripada China. Kami dibawa melawati muzium Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang di Urumqi, muzium Aksu dan Muzium Kashgar. Dan di sinilah kerajaan China menyampaikan mesej kepada orang awam tidak ubah seperti yang terkandung dalam dokumen kertas putih yang diedarkan kepada kami; bahawa Xinjiang menurut sejarah adalah dari susur masyarakat China, sementara masyarakat Uyghur dan masyarakat Turkik Muslim lainnya adalah pendatang, bahawa Islam itu agama asing yang telah dipaksakan terhadap masyarakat Uyghur.

Tambahan lagi, kerajaan China telah menunjukkan kepada semua pengunjung bahawa Islam telah menyebabkan banyak masalah di Xinjiang bahkan menjadi asas kepada fahaman dan gerakan ekstremisme dan terorisme. Bagi menangani masalah ini, Kerajaan China telah menubuhkan “Pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional” yang menempatkan golongan yang disebut sebagai pelampau untuk menyahradikalkan (deradicalized) mereka.

Pada 20 Ogos, Kerajaan China telah menghantar kami ke bandar Aksu bagi melawat Pusat Kemahiran Vokasional Daerah Onsu (Wensu). Kami dijadualkan bertemu dengan kelompok pelampau ‘ekstremis dan teroris’ yang disebutkan telah melalui proses ‘nyahradikal’ oleh Kerajaan China.

Ketika menjalani sesi temubual bersama ‘pelajar’ di tempat yang disebut sebagai ‘Pusat Latihan Vokasional’ ini, kami menyedari bahawa mereka ini sebenarnya bukan ‘pelajar’ tetapi tahanan, bukan teroris tetapi Muslim yang dipaksa meninggalkan agama akibat tekanan yang diberikan. Jenayah yang mereka lakukan adalah kerana mereka mengamalkan agama Islam, menunaikan solat, menonton ceramah agama Islam melalui internet, membaca al-Qur’an atau artikel berkenaan Islam, menulis tentang Islam, membaca sejarah masyarakat Uyghur, memakai hijab, membeli makanan halal, mengurus  jenazah dan perkahwinan mengikut ajaran Islam dan menyampaikan dakwah kepada saudara-mara mereka.

Kesemua temubual yang saya rekodkan dan dimuat naik melalui saluran YouTube membuktikan bahawa apa yang disebutkan sebagai ‘Pusat Latihan Vokasional’ itu bukanlah sekolah tetapi sebenarnya adalah pusat tahanan besar-besaran (mass detention centre). Pusat tahanan ini digunakan sebagai pusat ‘brainwash’, mencuci cara fikir dan tingkah laku tahanan Muslim Turkik di China; tidak kira sama ada mereka itu Uyghur, Kazakh, Kirghiz, Uzbek, Tatar dan sebagainya, dan memaksa mereka untuk keluar dari Islam dan dari identiti Turkik mereka seterusnya menjadikan mereka sebagai bangsa Cina Han.

Dakwaan-dakwaan yang Sia-sia

Biarpun negara China menyatakan bahawa mereka sedang menumpukan untuk menyelesaikan ‘3 kejahatan’ (three evils) yang berlaku di China iaitu puak pemisah, teroris dan ekstremis agama, apa yang sebenarnya berlaku adalah mereka sedang menghapuskan identiti Islam dalam kalangan masyarakat Uyghur yang memperlihatkan mereka ini berlainan daripada bangsa Cina Han. China sedang memerangi kepelbagaian dan kemajmukan yang mana kewujudannya di Xinjiang adalah pada Islam. Oleh sebab itulah, China ingin menghapuskan sebarang bentuk dan tanda kewujudan Islam dan seterusnya menCinakan wilayah tersebut yang merupakan hub kuasa utama bagi projek Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan China.

Masyarakat China yang beragama Islam (Huizu) di Xinjiang yang langsung tidak mempunyai sebarang ancaman sebagai pemisah juga menanggung penderitaan yang sama seperti masyarakat Uyghur. Menggunakan alasan memerangi puak teroris, pihak berkuasa negara China telah mengisytiharkan Islam sebagai agama ekstrem dan menolak keberadaan orang Islam bersama-sama dalam projek Laluan Sutera yang menghubungkan Beijing ke Asia, Afrika dan Eropah. China juga telah mengharamkan sebarang bentuk penyampaian dan pengamalan agama Islam di Xinjiang, sementara institusi-institusi di seluruh negara telah diarahkan untuk memerangi sebarang bentuk pengamalan agama (rujuk “The Xinjiang Regulation on De-extremification”, Bahagian IV, artikel 18).

Polisi Xianjiang

China sedang memperlakukan Xinjiang sebagai sebuah wilayah jajahan dan penduduk asalnya dianggap sebagai musuh yang harus diasimilasi atau dihapuskan. Pihak berkuasa Xinjiang telah merobohkan masjid-masjid, kubur-kubur dan tinggalan bangunan Islam lama dan bersejarah, serta sebarang bentuk tanda-tanda peradaban dan ketamadunan Islam yang wujud.

Ma Pinyan dalam perkongsiannya kepada kami di Urumqi telah memaklumkan bahawa Kerajaan China mahu melakukan penCinaan terhadap Islam. Mereka tidak mahu sama sekali melihat sebarang tanda adanya pengaruh Arab atau Turkik dalam kalangan masyarakat Islam di China. Masyarakat Muslim tidak boleh bersembahyang setiap hari, tidak boleh menolak arak, wanita Muslim tidak boleh memakai tudung atau berkahwin mengikut ajaran al-Qur’an.

Proses penCinaan Islam ini adalah sah menurut “The Xinjiang Regulation on De-extremification” (dalam artikel 4), dan pengamalan agama Islam adalah diharamkan sama sekali (“The Xinjiang Regulation on De-extremification”, Bahagian II, artikel 9). Membaca al-Qur’an secara berkumpulan, mengajar agama Islam kepada kanak-kanak, bercakap tentang Islam, menyimpan atau membaca bahan-bahan ilmiah Islam, memakai pakaian keagamaan, menonton atau menganjur rancangan berunsur agama Islam dalam pelbagai bentuk adalah satu jenayah yang boleh dihukum penjara atau ditahan bagi melalui proses ‘pendidikan-semula’ di ‘Pusat Tahanan Vokasional’ dalam tempoh masa yang panjang.

Pengharaman Pengamalan Keagamaan

Pihak berkuasa China telah menghalang kewujudan menara masjid, laungan azan, masjid yang mempunyai kubah dan sekiranya masjid baru akan dibina, ia mestilah mengikut bentuk dan seni binaan Cina kerana menurut naratif teleologi Kerajaan China, Islam harus diCinakan dan demikian tidak boleh wujud sebarang simbol Arab atau Turkik.

Untuk menguatkuasakan penCinaan Islam, pihak berkuasa Xinjiang telah menaja Institut Islam Xinjiang Islam, di mana imam-imam yang dipilih telah diajar tentang Islam versi China yang sangat terhad. Kempen keganasan terhadap populasi Muslim telah mewujudkan suasana ketakutan melampau. Kami dapat lihat ketakutan dalam setiap mata saudara Muslim yang kami temui.

Kerajaan China telah menjajah Xinjiang melalui koloni-koloni China sejak 1950-an. Masyarakat China yang terdiri daripada hanya 5%-9% keseluruhan populasi pada 1950 telah meningkat kepada 40% pada 2010. Penjajahan secara agresif berlaku secara berterusan kini dan pastinya bertujuan untuk menjadikan masyarakat Islam di sana sebagai minoriti.

Masyarakat Uyghur yang tidak ditahan dan dihantar ke kem-kem tahanan (“Pusat Latihan Vokasional”) atau dipenjarakan dipaksa menerima koloni China untuk tinggal dan menetap bersama dengan keluarga Muslim. Ramai wanita Muslim Uyghur dipaksa untuk berkahwin dengan lelaki Cina. Orang Islam juga tidak dibenarkan berpuasa ketika bulan Ramadhan. Restoran kedai makan Muslim tidak boleh menolak daripada menjual arak. Sesiapa yang memperdengarkan sedikit tanda-tanda keIslaman dipisahkan terus daripada keluarga mereka, diambil anak-anak mereka dan dibesarkan oleh keluarga Cina. Pemerintahan kuku besi, penindasan agama, dan asimilasi etnik yang dilakukan di Turkistan Timur sama sahaja dengan penghapusan kebudayaan bangsa (cultural genocide).

Walau bagaimanapun, lebih memalukan lagi, ketika dunia menyaksikan penganiayaan Muslim Turkik di China secara besar-besaran, dunia Muslim kelihatan tidak peduli tentangnya. Lebih memalukan pada 8 Julai 2019, sejumlah 22 negara bukan Islam telah menandatangani sepucuk surat yang ditujukan kepada Presiden Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) dan kepada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia yang menuntut agar China menghentikan program penahanan besar-besaran di Xinjiang.

Bukan sahaja negara bermajoriti Muslim mendiamkan diri daripada turut bersama menandatangani surat ini, bahkan lebih parah lagi sebilangan 20 buah negara Muslim telah menyertai 37 negara lain menyokong perbuatan dan tindakan China di Xinjiang.

Dalam sepucuk surat yang disediakan oleh China tertulis:

“Kami menghargai komitmen China kepada keterbukaan dan ketelusan. Kerajaan China telah menjemput beberapa diplomat, pegawai pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan wartawan-wartawan untuk melawat ke Xinjiang bagi melihat sendiri perkembangan hak asasi manusia dan kesan program pencegahan terorisme dan nyahradikal di sana. Apa yang dilihat dan didengari mereka di Xinjiang bertentangan sama sekali dari apa yang dilaporkan oleh pihak media. Kami menyeru negara-negara berkaitan berhenti daripada dakwaan tidak berasas terhadap China berdasarkan maklumat-maklumat yang tidak disahkan sebelum mereka melawat Xinjiang…”

Sejurus pulang dari Xinjiang, sebagai seorang cendekiawan dan wartawan, saya ingin mengkhabarkan kepada dunia Islam bahawa “hasil program pencegahan terorisme dan nyahradikal” yang China lakukan di Xinjiang merupakan pengharaman secara total terhadap agama Islam dan penganiayaan besar-besaran terhadap penganut Islam.

Kerajaan China menjemput saya sepertimana mereka telah menjemput “beberapa diplomat, pegawai pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan wartawan-wartawan untuk melawat ke Xinjiang bagi melihat sendiri perkembangan hak asasi manusia dan kesan program pencegahan terorisme dan nyahradikal di sana”. Walaubagaimanapun, pemerhatian saya membuktikan bahawa China sebenarnya sedang menganiaya hanya masyarakat Uyghur hanya kerana kepercayaan mereka kepada Islam dan mereka adalah Muslim.

Melalui surat terbuka ini, saya merayu kepada semua negara-negara Muslim yang telah menandatangani surat sokongan kepada China (pro-China) untuk menimbangkan semula pendirian mereka. Saya bersedia untuk menjadi saksi di mana-mana negara Muslim berkenaan perbuatan China kepada populasi masyarakat Muslimnya.

Apa yang dapat dilakukan?

Negara-negara Muslim mesti menimbang semula pendirian mereka dan mendesak China untuk segera menghentikan penganiayaan mereka ke atas masyarakat Muslim dan menghentikan pengharaman amalan keagamaan Islam di Xinjiang. China sepatutnya menutup “Pusat Latihan Vokasional” mereka, membebaskan tahanan agama dan politik daripada penjara dan kem tahanan, menghapuskan “Undang-undang De-ektrimifikasi Wilayah Autonomi Xinjiang“ (Xinjiang Uygur Autonomous Region De-extremification Regulations) yang berniat jahat lagi Islamofobik, berhenti menghantar koloni China ke rumah-rumah penduduk Uyghur dan mengarahkan semua aparat-aparat dan agensi-agensi negara menghentikan penindasan mereka terhadap masyarakat Muslim.

China mesti menghentikan polisi Islamofobia yang disasarkan kepada masyarakat Muslim, terhadap agama, sejarah, budaya dan cara hidup. China juga sepatutnya menghentikan proses penCinaan secara paksa terhadap masyarakat Turkik (Uyghur, Kazakh, Uzbek, Tatar, dan lain-lain), dan berhenti memusnahkan masjid-masjid dan bangunan-bangunan bersejarah.

China mesti membenarkan masyarakat Muslim di Xinjiang mempunyai pasport, mendapat kebebasan untuk keluar dan masuk dari China, melaungkan azan dari masjid-masjid mereka, memberikan hak mendapatkan makanan yang halal, membenarkan menunaikan haji ke Mekah, dan membenarkan mereka mengajar agama Islam kepada anak-anak mereka.

Pihak berkuasa Xinjiang harus meraikan kepelbagaian budaya dan menerima masyarakat Uyghur dan penduduk Muslim Turkik lainnya sebagai warga yang sama seperti penduduk asal negara China, dan menerima Islam sebagai salah satu daripada agama-agama yang ada di China. Kerajaan China seharusnya melihat kembali cara mereka memandang sejarah China dan sepatutnya menerima Islam sebagai sebahagian pelengkap bagi China bukannya sebagai musuh.

Dengan mengangkat tuntutan-tuntutan ini dan mengingatkan China bahawa dunia Muslim masih merupakan klien yang sangat penting kepada China, negara-negara Muslim dalam masa yang sama juga sepatutnya bangkit dan memohon perlindungan terhadap saudara Muslim yang sedang berhadapan dengan penindasan besar-besaran di Wilayah Autonomi Uyghur di Xinjiang.


Dr. Olsi Jazexhi adalah sejarawan Kanada-Albania dan ahli European University Institute.