Manusia Reformis: Membebaskan Akal dari Tirani Kebodohan
January 30, 2019

‘Akal merupakan titik puncak lengkungan keberadaan, tetapi cinta mengetahui bahawa mereka terpukau di dalam lingkaran ini’ – Hafiz, Diwan

Mengikut Abduh dalam al-Manar, kita harus memohon petunjuk kepada Tuhan agar diberi petunjuk jalan yang lurus iaitu petunjuk Maha yang Agung daripada kesesatan yang tidak disedari. Kesesatan yang dimaksudkannya ialah kegagalan melaksanakan perintah nilai universal seperti berlaku ketegangan dalam masalah toleransi. Bagi beliau, kegagalan itu disebabkan hati yang sakit dan tidak tunduk kepada ajaran Islam yang universal.

“Satu-satunya jalan lurus menuju Tuhan” (16:9)

Jalan yang lurus adalah jalan yang tidak mempersekutu Allah. Jalan yang dipandu melalui keimanan sejati dan dibuktikan melalui amalan baik dan sikap pasrah. Yang pasti, jalan yang mengakui keselamatan semua agama di dunia ini. Tidak ada dialog tanpa diperkukuh kepada nilai universal. Nilai yang diberi dijanjikan sejak azali oleh Tuhan kepada makhlukNya. Justeru, Islam sejak awal menghargai hak keberagaman beragama. Sikap saling menghormati dan memelihara tali persaudaraan antara manusia. Pembatalan pada ayat-ayat tersebut secara langsung melanggar pemerintah asas universal Qur’an.

Hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari menyebut “Islam dibangun di atas lima (landasan); persaksian tidak ada ilah selain Allah dan sesungguhnya Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan puasa Ramadan.”

Lafaz dan ikrar itu keyakinan kepada Allah. Syahadat adalah persaksian setiap manusia. Perjanjian itulah awal persaksian bahawa kita mengakui Zat Allah Maha suci. Maha agung dan tidak luput. Bahkan Maha berkuasa ke atas sesuatu. Justeru Dia tidak lemah. Tiada kuasa lain selain dari-Nya. Dialah yang mengetahui setiap yang tersembunyi dan tidak ada selain yang dia tidak ketahui. Semua pengetahuan milik-Nya. Ilmu-Nya luas di dasar bumi dan di langit. Sesungguhnya semua di langit dan di bumi berada pada pengetahuan-Nya. Hatta gerakan sebutir debu itu juga berada dalam rahsia-Nya.

Bagaimana untuk menggapai cinta-Mu?

Sebagai hamba di atas perjanjian-Nya, harus patuh dan taat pada hakikat perjanjian itu. Misalnya bahawa hakikat manusia berasal dari Tuhan – Kepatuhan dan penyerahan kepada Tuhan. Itulah fitrah –  keinginan semula jadi seorang manusia walau dari kelompok dan aliran mana pun. Tuhan memberi kebebasan dan pilihan kepada hamba-Nya. Selari keupayaan dan pilihan jalan berbagai. Demi meraih cinta hakiki. Hal inilah disedari oleh setiap manusia tentang tanggungjawabnya sebagai khalifah. Mentadbir bumi secara aman. Maka, dia sedari hanyalah hamba yang diikat perjanjian. Jauh sekali untuk bersikap angkuh dan sombong terhadap perkara yang dia tidak ketahui. Seperti tentang kebenaran.  Kerana itu pengetahuan Tuhan.

Lalu kesedaran dapat membezakan antara dua kelompok manusia. Pertama melakukan sesuatu ibadah kerana mengikuti tanpa faham. Kedua, melakukan ibadah kerana faham lalu kritis dan rendah diri terhadap sesuatu perkara – Kefahamannya telah melewati wilayah kebodohan yang harus dia bebaskan.

Malangnya, kebebasan itu telah diikat oleh kedidaktoran – keegoan. Tanpa sedar, jiwa telah dipenjara. Suluhan iman dan akal pencerahan sahaja yang mampu mengeluarkan manusia dari belenggu tirani kebodohan – kegelapan.

Iman Dibuktikan dengan Perbuatan. Bukan Perbuatan Dibuktikan itu adalah Iman

Pilihan pertama, menjadi manusia sekadar melaksanakan perintah Tuhan. Melaksanakan perintah Tuhan belum tentu manifestasi iman. Mereka melakukan ibadah kerana bukan atas pilihan dirinya sendiri. Jauh sekali kerendahan jiwa murni dan akal pencerahan. Kerana perintah itu dilaksanakan atas luapan emosi tanpa sedari menutupi jiwa murni. Sangkakan iman, sebaliknya ego. Justeru manusia moden hari ini telah membuang intipati keimanan – menandai keimanan dengan perlaksanaan perintah.

Sebaliknya iman dibuktikan dengan perbuatan – suluhan jiwa dan akal pencerahan.

Bukan perbuatan dibuktikan bahawa itu Iman. Malangnya, inilah kepercayaan majoriti umat beragama. Mereka sangkakan perbuatan mereka itu suluhan iman. Sebaliknya mereka sendiri mengada-ngada mengatakan itu iman. Sedangkan belum tentu. Apatah lagi perbuatan itu didasari dengan sifat penuh prasangka, benci dan menindas kemanusiaan.

Walau atas nama kononnya iman, sebahagian agamawan menyebarkan kekerasan dan kebencian terhadap sesama manusia yang berlainan agama atas alasan untuk menjaga kemurniaan nilai agamanya

Kesannya, teologi jadi sempit. Kebenaran jadi tunggal. Agama jadi eksklusif. Tanpa kemanusiaan, maraklah keganasan atas nama agama.

Maka setiap ajaran fikah ditandai simbol keimanan. Sebaliknya, perintah atau ajaran fikah, didasari dengan intipati keimanan. Iman menonjolkan fikah. Bukan fikah menonjolkan iman. Maka, jika fikah menonjolkan iman – fikah akan jadi sempit. Begitu juga teologi – menganut kefahaman teologi tunggal. Seperti, umat menyempitkan ibadah. Maka tidak pelik, dunia hari ini mengalami krisis kemanusiaan. Sebahagian umat menganut ajaran fikah sempit – fikah tafsiran manusia dan aliran tertentu. Sebaliknya umat perlukan fikah sosial – fikah kemanusiaan.

Nilai kemanusiaan terbit dari jiwa dan akal pencerahan – itulah IMAN.

Nilai tunjang esensi keberagaman. Menyempitkan makna iman itu menganggu keberkesanan perinsip universal – akal dan wahyu itu misi keagamaan. Ironinya, nilai-nilai universal itu ditempatkan ke dalam ruang yang sempit. Misalnya, kebebasan agama disempitkan kerana lemahnya pengetahuan dirinya dalam memahami kehendak esensi nilai tersebut. Maka kelompok pertama ini mahu menyebarkan nilai-nilai Qur’ani sekaligus bertentangan dengan perinsip keagamaan yang universal – kontradik.

Walhasil, agama sentiasa jadi bahan simbolik ke atas sumber kekuatan kepentingan kapitalis dan manusia fasik.

Jadi, bagaimana mahu mengalirkan intipati iman ke dalam rencam beragama di waktu kemodenan saat ini?

Persoalan ini harus dijawab kerana telah terjadi sebahagian keterasingan pengetahuan. Antara hamba dan Tuhan ke atas tindakan moral tersebut. Hal ini mengundang kerancuan memahami kebenaran. Kesan tersebut mudah dilihat dalam kerencaman beragama saat ini. Misalan ramai manusia mendakwa dirinya beragama lalu melakukan tindak balas yang bertentangan kehendak perintah ajaran-Nya. Sebagai contoh melaksanakan solat tetapi mengundang kebencian terhadap manusia yang berbeza agama dan alirannya. Menunaikan haji tetapi menzalimi hak kemanusiaan.

Kesimpulannya, apakah erti nilai ibadah tersebut jika mengundang kerosakan dan kezaliman?

Para ahli ilmu menyebut sebagai ibadah tanpa ubudiyyah.

Agama tanpa penghayatan. Sebagaimana manusia moden itu kering suluhan kerohanian – kelompok manusia dikenali “orang agama” dan menimbulkan kerosakan dengan menyempitkan makna agama.

Akhirnya persoalan ini tentang kegagalan mengenal makna diri dan keegoaan. Manusia ego menyangka mengenal dirinya tetapi sebaliknya ia masih tidak lagi mengenal dirinya. Tanpa tindak balas ontologi yang berbekas di dalam intipati kebenaran, sulit untuk kita melihat sisi-sisi kebenaran di luar pengetahuan dan mencerap batasan nafsu haiwani dalam diri kita.

Keegoan menguasai dalam semangat membongkar kebenaran. Begitulah disebut penting mengenal diri itu bagai mengenal pencipta – Tuhan. Mungkin inilah sebab bahawa manusia harus mengingati intisari perjanjian dengan Tuhannya “man’arafa nafsahu faqad’arafa Rabbahu”.

Ibadah Rukun Kemanusiaan; Apakah Kamu Tidak berfikir?

Seperti telah dinyatakan lebih awal, sesunguhnya kemerosotan kerohanian di dalam diri manusia moden hari ini seringkali menghadirkan persoalan tentang eksistensi manusia. Apakah perkara yang menganggu kesempurnaan nilai-nilai tersebut akhirnya tidak mampu membangunkan tindak balas keimanan di dalam dirinya?

Manusia tiada kebebasan dalam menentukan pilihannya untuk menemukan kebaikan. Menurut seorang pemikir failasuf Islam, Muhammad Iqbal, bahawa manusia haruslah menghasilkan tingkat kreativitnya di atas kehendak bebas tersebut. Tidak hanya berhenti di situ, Iqbal mengatakan lagi bahawa kesempurnaan selain punya kehendak bebas, juga mampu mencontohi sifat-sifat Tuhan. Ketika inilah menurut Iqbal bahawa hubungan antara hamba dan Tuhan menyatu di dalam diri manusia sehingga potensi tersebut mencapai kesempurnaan Ilahi.

Maka itulah perbezaan kualiti tahap keimanan – bergerak aktif menentukan sesebuah tindakan. Ukuran tahap itu ditentukan bahawa semakin tinggi keimanan dan kesedaran Ilahi, maka di situlah terhasil ‘Manusia Reformis’ – punyai pembaharuan yang segar dan tidak mengundang kerosakan.

Iqbal mengungkapkan kata-kata indah Rumi bahawa manusia diibaratkan seperti pedang, Tuhan sebagai pemain pedang, dunia diumpakan batu asah kepada pedang tersebut. Menurut Rumi yang diungkapkan oleh Iqbal lagi bahawa pandangan Timur hanya menumpukan tentang Tuhan tanpa melihat dunia sebagai batu asah.

Ironinya, Timur bermasalah kerana hanya melihat tentang Tuhan, sesungguhnya Barat juga bermasalah melihat batu asah tanpa menyedari bahawa Tuhan yang bermain pedang. Demikian ini, sebenarnya ingin disampaikan perumpamaan bahawa dunia moden pada hari tidak ada lagi keseimbangan antara konsep ukhrawi dan duniawi. Misalnya terdapat manusia yang mencintai agama sehingga melupakan dunia, maka agama menuju kesempitan dan kejumudan. Sebaliknya menjadi manusia yang menolak agama, sudah tentu penderitaan batiniah dan kesengsaraan hidup. Maka manusia ideal adalah menyatukan esensi agama dan kehidupan dalam dirinya –  makhluk yang hidup dan menyebarkan kebahagian tersebut.

Namun begitu, masih lagi ramai yang gagal membezakan antara kepentingan dunia dan akhirat. Seolah-olah terdapat penghalang untuk menyatukan perkara ini. Tanpa disangka sebenarnya juga terdapat manusia moden tidak pernah memisahkan antara kepentingan dua perkara ini namun tetap kecundang ke dalam kebinasaan. Dia tidak dapat menemukan titik temu sintesis yang menghubungkan realiti di atas keberadaan dirinya. Demikian inilah masalah terbesar yang seringkali tidak mudah kelihatan dalam diri manusia moden abad ketika ini. Di luar kelihatan sihat, punya akal yang cerdas namun punyai sisi-sisi gelap yang dia sendiri mencurigai tentang fungsi keberadaan di muka bumi ini.

Mereka melupakan pesan Tuhan.

Tuhan mengurniakan akal, tetapi mereka melupakan pesan itu – Apakah kamu tidak berfikir?

Amanah perjanjian manusia dan Tuhan adalah meneliti fungsi ontologi tentang tindak balas keimanan terhadap hubungan realiti keberadaannya. Sudah tentu ia meliputi segala ruang dan material – mengisi kesempurnaan pengetahuan dan kesedaran. Sebagai contoh, kita mudah mengerti pada zahir kelompok yang menolak agama dan menyempitkan agama. Namun tidak mudah untuk menemukan kelompok yang tidak menolak keduniaan dan ukhrawi, tetapi terbabas di dalam lingkaran kerosakan – seseorang itu mengerti suruhan perintah Tuhan dan dia melaksanakan dengan baik sebagai hamba. Contohnya dia menunaikan solat tetapi dia tidak merasai nikmat ibadah itu. Tiada berbekas di dalam hatinya untuk meyempurnakan keimanan di tahap tertinggi. Seperti tidak mahu terlibat di dalam kerja-kerja keadilan dan memikirkan kemanusiaan.

Hidup hanya untuk dirinya dan keluarga. Dia tidak kisah terhadap apa yang berlaku tentang masyarakat dan manusia lain di luar sana. Apatah lagi kezaliman, penindasan, ketidakadilan yang berleluasa saat ini.

Namun adakah kita ingin mengatakan dia adalah manusia yang bermasalah?

Hidupnya tidak menganggu orang bahkan menunaikan solat sempurna berjemaah sentiasa di Masjid? Mungkin ini barangkali kekeliruan terbesar saat ini bahawa yang disangkakan amalan ibadah sempurna cukup sekadar itu.

Sesungguhnya beragama tidak perlu ada masjid, kuil, gereja andai tidak dihayati kedalaman makna terbesar tujuan ibadah –  iaitu menyebarkan pesan islah – nilai-nilai kemanusiaan.

Terdapat juga manusia yang kuat bekerja untuk kemanusiaan, kerja-kerja keadilan, dan kebebasan. Malangnya dia bersikap penting diri, tidak menghormati dan bersikap pesimis terhadap kelompok yang berbeza – bertentangan seringkali dianggap musuh. Dia bersikap sarkastik terhadap imej agama. Hatta dia begitu benci kepada orang-orang yang membawa imej agama. Sudah tentu perkara yang diperjuangkan itu adalah sebahagian nilai-nilai agung dalam ajaran kitab suci. Apakah itu dianggap bermasalah?

Agama menyantuni semua manusia dan bertindak adil terhadap setiap perkara. Keterbukaan dan kemanusiaan yang dia rasa paling benar itu, tidak boleh sama sekali dia bersikap merendahkan manusia lain di dunia ini. Kekeliruan ini kerana gagal menentukan di mana letaknya fungsi iman, fitrah juga akal dalam menuju kebaikan.

Sebagai hamba-Nya, kita haruslah berhati-hati dan menghalangi kejahatan atau kemunafikan ala moden ini. Tanpa disedari wujud di dalam diri kita. Oleh kerana itu, tahap paling tertinggi di mana ia merendahkan keegoaannya kepada Tuhan dengan mempersaksikan kerendahan batinnya dalam bentuk islah pada persaksian tindakan yang maju. Menyempurnakan manusia ideal tidak cukup sekadar punya keimanan pada tahap kebiasaan, namun dia harus mengerti tugas dan taklifi sebagai hamba. Justeru berpartisipasi ke dalam ruang permasalahan sosial dengan harapan dapat menciptakan momentum kemajuan umat – Pesan islah dan nilai-nilai tertinggi ajaran kitab suci.

Maka, mencapai kenikmatan di dalam ibadah bukan hanya di dalam solat, malah lebih universal terdapat di luar solat. Solat adalah sumber kekuatan untuk kita mengutip sebanyak mana lagi kekuatan di luar solat. Solat akan membebaskan kita daripada belenggu keegoaan dan sifat penting diri – kebodohan.

Solat membentuk kesedaran reformis. Memberikan tindak balas yang maju di luar solat. Perkara itu ditunjukkan dengan sikap Muslim yang sentiasa berdamai, membantu orang yang susah, menegakkan keadilan, melawan penindasan, mengajak kepada perpaduan. Itulah terjemahan ketinggian khusuk di dalam solat. Kesedaran universal sebagai tanda-tanda bahawa solat kita diterima Allah.

Begitulah bahawasanya ibadah dalam al-Qur’an dikaitkan dengan akal, takwa, dan fitrah.  Berarti melaksanakan perintah Tuhan dan menjauhi larangan-Nya – iaitu orang yang melakukan suruhan universal-Nya melalui kesedaran Ilahi – Orang-orang yang berfikir.

Manusia Universal; Membebaskan Belenggu Kebodohan

Ibadah tanpa kesannya kepada sosial itu bermasalah. Sesungguhnya keimanan dan kemanusiaan adalah jantung setiap agama – membebaskan kebodohan yang bermaharaja di dalam diri.  Sebagai contoh dalam agama Islam, seseorang harus menjiwai seruan solat, puasa, haji, dan zakat – supaya terbit nilai keimanan dan kemanusiaan dalam dirinya.

Ramai orang di dunia ini masih tidak merasakan membantu kemiskinan adalah sebuah jihad keimanan. Sifat kemanusiaan dalam diri dibina atas dasar takwa. Sebab itulah di dalam Islam ataupun di dalam semua agama besar di dunia ini, menyatakan bahawa ibadah tidak diarah hanya kepada kehidupan hamba dan Tuhan sahaja, atau urusan rahbaniyah. Sebaliknya berfungsi pada nilai-nilai kemanusiaan sosial. Ya, bahawa agama adalah kemanusiaan yang belas kasih tidak terhingga.

Mungkin benar apa yang diungkapkan oleh penulis Mysticism in the Nuclear Ageiaitu Thomas Merton bahawa kedamaian tidak dapat diraih tanpa kedermawanan. Sistem sosial tidak akan teratur tanpa menghadirkan sumbangan spiritual orang-orang sufi, mistik, para solihin dan para Nabi – manusia universal.

Menurutnya lagi bahawa dunia krisis saat ini tidak boleh diselamatkan hanya dengan panduan teori dan ideologi. Sebaliknya dapat diselamatkan oleh orang-orang yang suci bersih rohaninya yang memancar kasih sayang menggantikan kegelapan. Manusia inilah yang dipanggil manusia universal – yang beriman dan bertakwa. Suluh kemanusiaan terbit di dalam hati manusia seperti ini.

Begitulah seperti kata pemikir Islam, Sayyed Hossein Nasr di dalam buku The Garden of Truth bahawa kita semua akan mati. Mengapakah kita tidak berusaha bangunkan akal dan kehendak bebas kita daripada situasi dimana kita tidak berdaya?

Menurut beliau, “Matilah engkau seolah engkau sedang memasuki relung cahaya”

Dari kesempitan dan kegelapan itulah munculnya akal tercerah. Keluar dari tirani kebodohan. Janganlah kita mati sebelum mati. Manusia yang mati sebelum mati adalah manusia miskin. Bukan miskin material, sebaliknya miskin kemanusiaan, miskin kerohanian, malah miskin akal. Kita harus kaya jiwa dan cerah akal. Sehabis mampu kita membebaskan kebodohan dalam diri kita – Manusia reformis yang universal.

Sayyed Hossein Nasr menyebut lagi, bahawa menemukan diri sendiri dengan mengharuskan kita mati terhadap diri kita dan menembus dinding ego kita. Membuang kebodohan di dalam diri dengan jalan kerohanian dan jalan berfikir – mengetahui apa ertinya menjadi manusia sepenuhnya menyusup ke dalam hati.

Tuhan tidak inginkan perbuatan kita, melainkan jiwa kita. Namun Tuhan menghakimi tindakan kita kerana tindakan mempengaruhi lingkaran jiwa – tindakan kita ditentukan oleh jiwa.

Maka, lingkaran itu adalah tindakan yang dipengaruhi oleh akal sihat, kebebasan pilihan berkehendak. Justeru pengarahan moral menjadi nilai yang bermakna. Membentuk kebaikan dan kesedaran. Bukan nafsu. Kesedaran itu bermula dari fungsi akal dan bantuan wahyu. Supaya dapat membebaskan kebodohan dan kejahatan. Akhirnya, manusia reformis menyedari hakikat insani adalah jauh lebih penting daripada tindakan-tindakan yang jauh menyimpang dari batas kemanusiaan walau menggunakan kesedaran atas nama agama sekalipun.

Sesungguhnya, di sisi Tuhan adalah jiwa yang baik – manusia yang baik. Demikian, penilaian Tuhan ke atas tindakan manusia di akhirat, walau Islam, Kristen, Hindu, Buddha dan agama lain sekali pun tidak ada pertentangan dengan jiwa. Semua itu adalah milik Tuhan.

Maka di sisi Tuhan hanya pengetahuan dan cinta – Iman. Semua manusia walau agama apa pun boleh mencapai manusia universal.

Namun, meminggirkan kemanusiaan, kerana akal tidak lagi membimbing dan berfungsi. Tindakan manusia memerlukan keberadaan wahyu dan iman. Lalu akal manusia begitu jauh bersembunyi di dalam relung hati hingga sulit manusia untuk mengenal mana benar dan palsu. Kerana kepalsuan juga boleh nampak benar – memakai gelaran atas nama agama. Begitu penting mempunyai bantuan akal Ilahi. Tindakan kita tidak mudah dikaburi atas nama agama. Jauh sekali kelompok berfahaman teologi tunggal. Satu-satunya kebenaran – kelompok ektrimis agama.

Oleh itu, kebenaran tidak tertegak atas nama jihad – kerana mengangkat senjata dan melaung-laung slogan agama sepertimana sering dilaungkan kelompok Islamis. Sebaliknya jihad memerangi atau membebaskan kebodohan dan tirani di dalam diri – alan kerohanian dan berfikir.

Untuk menggapai kebebasan mutlak ini, kita harus memasrahkan kehendak kita kepada Tuhan. Itulah al-Islam. Menyerah dan kepatuhan kepada Ilahi demi meraih kedamaian. Sesungguhnya setiap kebajikan diterangi akal. Bukan emosi semata-mata. Malangnya, ramai manusia cuba merendahkan hati untuk sembunyikan keangkuhan, dan keegoaan – kemunafikannya.

 


Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah dari Islam. Beliau juga adalah Felo Penyelidik, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front (IRF) dan bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan.

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022