Prakata Pengarang Untuk Terjemahan Bahasa Melayu “Pertelingkahan Politik dalam Kalangan Para Sahabat”
April 8, 2019

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Buku ini telah diterbitkan dalam Bahasa Arab buat pertama kalinya sekitar lima-belas tahun yang lalu. Kemudiannya, ia telah diterbitkan sebanyak beberapa kali oleh beberapa penerbit buku Arab di Jeddah, Damsyik, Kaherah, Beirut, Algiers, dan sebagainya. Buku ini telah mencapai bilangan pembaca yang sangat tinggi, dan menerima perhatian serta perbincangan luas daripada para cendekiawan di seluruh dunia Islam. Ada yang memujinya, dan ada juga yang turut mengkritiknya.

Semenjak kemunculan buku edisi pertama tersebut, saya mempunyai impian agar buku ini diterjemah ke dalam bahasa-bahasa utama di negara-negara Muslim. Selepas buku ini diterjemah ke dalam Bahasa Turki dua-belas tahun yang lalu, saya telah mencapai impian saya tersebut sekali lagi pada hari ini apabila buku ini diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, di mana ia merupakan sebuah jendela intelektual yang besar terhadap jutaan masyarakat Muslim di Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, dan negara-negara yang lain.

Saya sangat berterima kasih terhadap Islamic Renaissance Front di Kuala Lumpur, Malaysia, khususnya terhadap pengasas dan pengarahnya, iaitu Dr. Ahmad Farouk Musa dan rakan sejawatnya dalam organisasi tersebut kerana menerbitkan buku terjemahan ini. Saya juga sangat berterima kasih terhadap penterjemah buku ini,  iaitu Muhammad Thufail Sayuti dan editornya, Ahmad Nabil Amir, atas usaha intelektual besar yang telah mereka kerahkan terhadap buku ini.

Dua Kata Pengantar oleh dua ilmuwan yang sangat dihormati, iaitu Shaykh al-Qaradawi dan Shaykh al-Ghannouchi, serta dua kata pengantar dan pengenalan daripada saya terhadap buku ini dalam edisi Bahasa Arab, telah memberikan maklumat yang secukupnya mengenai intipati dan metodologi buku ini. Mungkin ia sudah mencukupi untuk saya merumuskan tujuan penulisan buku ini ke dalam tiga poin ringkas, iaitu:

  1. Membangunkan sebuah pendekatan metodologikal yang koheren untuk mengkaji pergolakan politik pada kurun awal Islam sebagai sebuah kunci untuk memahami sejarah politik Islam.
  2. Membina semula memori-memori sejarah bagi tempoh-tempoh awal kurun Islam tanpa bersikap apologetik terhadapnya berdasarkan kepada sebuah landasan kuat bagi kajian sejarah secara ilmiah.
  3. Membantu para pembaca Muslim untuk memahami asal-usul sejarah bagi krisis politik semasa dalam dunia Islam, dan juga pada masa lampau, yang masih lagi menyuburkan krisis tersebut pada hari ini.

Seperti yang saya telah ulangi dalam buku-buku saya, krisis ketamadunan Islam secara dasarnya merupakan sebuah krisis legitimasi politik. Akar kepada krisis ini dapat dikesani semula terhadap pertembungan politik antara sahabat-sahabat Nabi, selawat dan salam ke atas Baginda, pada kurun pertama bagi era Islam.

Sekiranya tidak dibina semula memori kesejarahan bagi peristiwa-peristiwa berdarah yang meletus pada kurun awal Islam, maka krisis politik bagi ketamadunan Islam yang menduka-citakan lagi berdarah akan terus-menerus berlaku tanpa ada sebarang penyelesaian. Seperti yang dikatakan oleh seorang Professor sejarah saya sebelum ini: “Untuk mencipta sebuah masa hadapan yang baharu, kita perlu mencipta semula sebuah masa silam yang baharu,” maka buku ini merupakan satu cara lain untuk “mencipta sebuah masa silam yang baharu”, iaitu bukannya dengan memanipulasikan peristiwa-peristiwa sejarah pada kurun awal Islam, tetapi dengan memaparkan peristiwa-peristiwa tersebut secara tidak apologetik dan dengan pencerahan yang lebih segar dan bertenaga.

Pada awal tahun 2018, saya telah terbitkan buku saya yang terbaru, iaitu The Constitutional Crisis of Islamic Civilization. Buku tersebut saya bangunkan berdasarkan hasil daripada buku ini, dan saya kembangkan idea-idea yang saya telah bangunkan di sini terhadap hasil-hasil logikanya. Apa yang ada dalam buku ini hanyalah sekadar benih-benih intelektual dan cadangan-cadangan metodologikal, namun ia telah dikembangkan ke dalam buku baharu saya tersebut – The Constitutional Crisis of Islamic Civilization – untuk menjadi sebuah projek yang matang dengan hasil yang bermanfaat.

Saya mengharapkan agar buku The Constitutional Crisis of Islamic Civilization pada suatu hari nanti turut diterjemah ke dalam Bahasa Melayu yang indah ini, justeru saudara-saudara saya daripada alam Melayu dapat membaca dan memberi reaksi terhadapnya. Segala syukur saya ucapkan kepada Allah; yang dengan bantuan-Nya maka kebaikan-kebaikan ini dapat dilaksanakan.


Mohamed El-Moctar El-Shinqiti
Prof. Madya bagi Etika Politik,
Universiti Hamad Bin Khalifa,
Doha, Qatar.

6hb Apri 2019

 

 

 Dr. Mohamed El-Moctar El-Shinqiti

Professor Madya bagi Islam dan Etika Politik

Mohamed El-Moctar El-Shinqiti merupakan Professor Madya bagi Etika Politik dan Sejarah Agama di Universiti Hamad Bin Khalifa, Doha, Qatar. Bidang akademiknya termasuklah pemikiran politik Islam dan etika; reformasi agama dan sejarah sektarianisme bagi masyarakat Muslim. Beliau memperoleh PhD dalam sejarah agama daripada Universiti Texas Tech, USA mengenai “Kesan ‘Perang Salib’ terhadap Hubungan Sunni-Syiah” dan sekarang ini mengajar subjek sejarah agama dan falsafah agama di Fakulti Qatar bagi Pengajian Islam (Qatar Faculty of Islamic Studies,QFIS) di Universiti Hamad Bin Khalifa, Doha, Qatar.  Sebelum ini, beliau mengajar tafsir al-Qur’an dan nahu Arab di Universiti Al-Iman, Yaman; kesusasteraan Arab di Universiti Terbuka Amerika (American Open University) di Virginia, USA; dan agama dunia di Universiti Qatar. Kebanyakan bukunya telah diterjemah dan diterbitkan dalam bahasa Turki; sesetengahnya telah diterjemah ke dalam bahasa Albania, Bosnia, dan Parsi; dan beberapa buah daripadanya sedang diterjemah ke dalam bahasa Kurdi. Mohamed El-Moctar merupakan seorang penyumbang tetap di saluran TV Al-Jazeera dan laman webnya, di mana beliau telah menerbitkan lebih daripada 400 artikel analitikal dalam bahasa Arab dan Inggeris. Beliau juga terlibat dalam beberapa konferens serantau dan antarabangsa.

 

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022