Prakata Penterjemah Jalan ke Mekah

December 30, 2018 by Mukhriz Mat Rus



Muhammad Asad bukanlah penulis Barat pertama yang merekodkan pengamatan yang dikumpul daripada pengembaraan atau permukiman di ‘Timur’. Tapi melalui autobiografi ini, Asad menghidangkan satu pemerhatian halus dan tersendiri, bukan sahaja sebagai pelancong atau pengembara luar.  Namun dia telah menjadi sebahagian daripada masyarakat Timur. Dia jatuh cinta dan bersahabat akrab dengan orang Timur. Dia berjuang bersama mereka melawan kolonialisme. Dia membela hak-hak mereka dan mendedahkan hipokrasi kuasa-kuasa politik Barat. Dia menjadi ‘jurucakap’ masyarakat Timur menyanggah prasangka dan salahfaham Barat. Namun pada masa yang sama, dia kerap menegaskan bahawa dikotomi Timur-Barat tidak sentiasa benar. Hakikatnya dua ‘dunia’ itu bersifat simbiosis, saling mempengaruhi dan tidak pernah terpisah. Asad telah menghasilkan beberapa karya lain yang sarat dengan perbincangan ilmiah dan percambahan fikrah. Bagi adikarya ini, tiga pelajaran penting buat kehidupan terzahir jelas.

Pelajaran pertama; hidup adalah satu perjalanan, samada secara fizikal melibatkan ruang geografi atau yang bersifat rohani dan kejiwaan. Sebagaimana terungkap melalui do’a dalam ‘al-Fatihah’, kita dianjurkan untuk senantiasa meminta ditunjukkan jalan yang lurus. Para Nabi dalam naskah agama pula sering digambarkan sebagai penunjuk jalan. Dalam karya ini Asad nukilkan pepatah Kurdi yang cukup dalam lagi indah: ‘Jika air tergenang tanpa riak dalam kolam, ia akan berkeladak dan hapak; hanya apabila ia kekal mengalir, air itu akan tetap hening dan jernih; demikian juga, manusia dalam pengembaraannya’. Benarlah, kehidupan ini bukanlah bersifat statik dan jumud, dan perubahan adalah satu yang pasti. Sarjana kesufian Islam, Omid Safi, perihalkan ‘siratul mustaqim’ sebagai ‘the path of perfect harmony’. Maka kebahagian hidup barangkali bergantung kepada sejauh mana kita menanggapi atau menanggani perubahan, dan sejauh mana kita berupaya berdamai dengan sejarah lalu, yang  mungkin atau pastinya berbeza atau bertentangan.

Pelajaran kedua berkait dengan kata hikmah Jerman yang kerap disandarkan kepada Goethe, ‘Man sieht nur, was man weiß’, bererti, seorang itu hanya melihat akan apa yang dia tahu. Perkara ini lazim dapat kita garap dari catatan penulis Barat dalam penulisan mereka tentang masyarakat dan budaya ‘Timur’. ‘Timur’ dilihat penuh misteri, mistik dan menimbulkan keterujaan. Namun pada masa yang sama pengamatan itu berakar kuat pada rasa ‘superior’ dalam diri mereka. Bagaimanapun dalam karya ini, Asad kelihatan meninjau ke daerah menjaungkai sempadan orientalisme, dia cuba memahami budaya Timur melalui perspektif orang Timur sendiri, mengesampingkan prasangka yang disajikan kepadanya ketika membesar di Barat. Dia mendedahkan dirinya kepada kecelaruan dan ‘kesesatan’ di padang pasir kehidupan, namun di sanalah pada akhirnya di temui wadi yang menghilangkan kedahagaan jiwa.

Bagaimana untuk menjadi insan global terawal adalah pelajaran ketiga dalam karya agung ini. Insan global di zaman moden ini bukanlah mereka yang berkelana atas dorongan kolonialisme atau ‘kewajipan menyelamat’. Tapi insan global masakini bergerak merentasi sempadan dengan mengangkat prinsip persamaan dan menjunjung nilai kemanusian secara total. Asad buktikan bahawa ‘rumah’ tidak semestinya terbatas di daerah atau rantau di mana kita dilahirkan, tapi di mana jiwa kita bersedia untuk ‘melepaskan akar’ dan pastinya menuntut ‘iklim’ dan ‘tanah’ yang harmoni dengan diri. Maka bagi insan global, sebagaimana kata-kata Eugene V. Debs, ‘aku tidak ada negara untuk diperjuangkan; negara aku adalah bumi, dan aku adalah warga negara dunia’. Asad ternyata telah terjemahkan kata-kata ini menerusi hidupnya.

Nabi junjungan telah perikan bahawa manusia yang terbaik adalah mereka yang memberi paling banyak manfaat kepada manusia. Asad telah memberi sumbangan buat kemanusian dengan caranya yang tersendiri. Moga terjemahan pertama kali dalam Bahasa Melayu akan buku asal yang telah diterbitkan pada tahun1954 ini memberi manfaat dan ibrah kepada ‘mereka yang berfikir’.


Mukhriz Mat Rus adalah Setiausaha Agung di Islamic Renaissance Front dan penterjemah buku Jalan ke Mekah.