Uraian Jalan ke Mekah

December 30, 2018 by Ahmad Nabil Amir 


Buku ini memaparkan pengembaraan yang ekstensif Muhammad Asad dalam perjalanan padang pasirnya selama 23 hari ke Mekah mengharungi gurun-gurun tandus yang mahaluas al-Nufud dan Rub‘ al-Khali (Gurun Kosong) yang tak terjamah manusia, dan sebelumnya padang Esdrelon, Kush-i-Gushnegan (Pegunungan Lapar) yang membentangkan keluasannya dari Baluchistan menembus ke jantung Iran – hingga perbukitan Jabal Syamar.

Dalam perjalanan itu beliau mengimbau kesan-kesan yang mempengaruhi yang menariknya kepada Islam sejak meninggalkan Eropah pada tahun 1922 dan mengharungi kehidupan di tengah-tengah masyarakat Muslim di Timur Tengah. Penjelajahannya di dunia Arab ini dirakamkan sepanjang menempuh tanah-tanah asing di Palestin, Baitulmaqdis, Mesir, Jordan, Amman, Syria, Iraq, Kuwait, Iran, Afghanistan dan Turki. Dunia ini diimbas dalam kesadaran yang mengesankan menghimbau kekuatan peradaban dan kebudayaan yang pernah tertegak dan pengaruh intelektual Islam dan pertembungannya dengan Eropah dan kemunduran pemikiran dan kemacetan yang ditemuinya di mana-mana di dunia Muslim.

Dalam menyikapi pengalamannya sepanjang musim Haji di Mekah dan Madinah, beliau turut mencatatkan pertemuannya dengan pelopor-pelopor Islam yang tulen yang mengilhamkan pandangan baru tentang ajaran-ajaran pembaharuan di negara mereka seperti Haji Agus Salim dari Indonesia, Shaykh Mustafa al-Maraghi dari Mesir – yang disifatkannya sebagai salah seorang sarjana Islam yang paling terkemuka dan tentunya yang paling cerdas di kalangan para ulama’daripada Universiti al-Azhar – yang juga adalah seorang murid daripada pembaharu Mesir yang besar, Imam Muhammad Abduh, yang telah berhubungan dalam waktu remajanya dengan pengobar api perjuangan yang mengilhamkan itu, Syaikh Jamal ad-Din al-Afghani.

Demikian juga pertemuannya dengan Amir Shakib Arslan dari Syria, Sayyid Ahmad Sanusi Akbar dan Umar al-Mukhtar dari Libya dan percakapannya dengan kaum Badwi padang pasir dan ulama besar Saudi seperti Shaykh Abdullah ibn Bulayhid, Sidi Muhammad Az-Zuwayy dan Shaykh Az-Zughaybi tentang ajaran pembaharuan Shaykh Muhammad ibn ‘Abd al-Wahhab dan pergolakan politik di tanah Arab dan pengaruhnya  dalam pertentangan mazhab antara puak-puak Sunni dan Shiah dan kesan-kesannya dalam percaturan politik di rantau itu.

Pengamatannya yang menarik tentang hubungan peradaban Islam dan Barat dan konflik spiritual yang dideritai di negara-negara ini menyumbang kepada pemahaman yang mendasar tentang nilai spiritual dan nafas kemanusiaan yang universal dan membantu dalam menjembatani tamadun dan kebudayaan Eropah dan Islam dan buku ini sebagai sumbangannya yang tulen tentang pengalaman spiritual yang mengasak pemahaman yang lebih baik tentang dunia sejagat yang kita warisi.


Dr Ahmad Nabil Amir adalah Ketua, Abduh Study Group. Islamic Renaissance Front.