Keadilan Kepengagihan dan Tanggungjawab Intelektual Muslim: Satu Pernyataan Awal – Bahagian II
June 16, 2014

Tinjauan Ke Atas Perubahan Masyarakat

Setiap konsepsi keadilan yang dibentuk oleh para pemikir tidak boleh terpisah daripada struktur dan dinamisme masyarakatnya. Di bahagian ini, kita akan meninjau dengan lebih mendalam perubahan-perubahan yang telah dilalui masyarakat dunia umumnya dalam strukturnya bagi membolehkan kita memahami dengan lebih jelas akan apakah tuntutan-tuntutan serta aspek yang perlu diambil kira dalam membentuk sebuah ide keadilan berlandaskan tradisi kita. Dari sini, setelah membedah setiap perbezaan yang melatari masyarakat kita berbanding masyarakat zaman lampau ketika zaman gemilang kesarjanaan Islam, barulah kita mampu berfikir dengan lebih mendalam.

Di bahagian ini juga, saya tidak akan berfokus kepada peristiwa sejarah dengan banyak, tetapi akan cuba melihat struktur masyarakat yang melatarinya. Pendekatan ini memerlukan analisis yang lebih mendalam, bukan sekadar mengetahui apakah peristiwa yang pernah berlaku secara kronologi, tetapi merupakan analisis perubahan sosial. Hal ini kerana, sebuah konsepsi keadilan mestilah berpadanan dengan struktur sosial masyarakat lantas mewujudkan keperluan supaya perubahan sosial, sekurang-kurangnya daripada zaman pramoden kepada moden, difahami secara tuntas. Untuk tujuan ini, saya merujuk pendekatan sejarawan Fernand Braudel yang beliau istilahkan sebagai longue durée.[1]

Zaman Pencerahan memaparkan kelahiran semula keghairahan dunia Barat dengan ide-ide falsafah lampau dan mereka berusaha mengembangkannya ke takah yang lebih tinggi. Kemudian, mengikuti Revolusi Perindustrian, struktur sosial masyarakat berubah secara mendadak selain struktur dan dinamisme ekonomi. Hubungan kekuasaan masyarakat berubah, orientasi kuasa politik serta penguasaan ekonomi juga turut berubah bersama perubahan sosial dalam pekerjaan dan pola migrasi masyarakat.[2] Pendek kata, masyarakat pasca-industri merupakan masyarakat yang hampir seluruhnya berbeza dengan yang sebelumnya, menjadikan kita wajib melihat secara mendalam akan ciri-ciri serta sifat perubahan yang menjadi karakternya. Untuk lebih jelas, saya akan membahagikan analisis kepada struktur politik dan ekonomi.

(a) Politik

Revolusi Perindustrian telah mengubah struktur politik masyarakat, selain struktur ekonomi. Sebelum zaman industri, masyarakat rata-ratanya berbentuk feudal politiknya, bilamana raja melantik wakilnya daripada kalangan para aristokrat untuk menjadi wakilnya di sesebuah tanah jajahan. Wakil ini akan mengutip ufti berdasarkan keluasan tanah yang dimiliki rakyat di sesuatu tempat, kemudian peratusan tertentu daripada ufti tersebut akan diserahkan kepada raja yang menguasai seluruh tanah jajahan. Bermakna, sistem feudal telah menjadikan penguasa politik sesebuah tanah jajahan sebagai orang yang menguasai hasil-mahsul ekonominya juga.

2.industrial_revolutionKetika berlakunya Revolusi Perindustrian, muncul kelas baru dalam masyarakat, yakni kelas industrialis atau golongan pemodal. Mereka kemudiannya membina kilang-kilang, mengambil pekerja daripada luar yang akhirnya mewujudkan trend migrasi ke arah tempat-tempat yang banyak peluang pekerjaan. Perkara inilah yang berlaku di kota-kota industri awal seperti Manchester, Leeds, Liverpool dan London[3]. Kesannya, populasi masyarakat bertumpu di bandar-bandar industri akibat peluang pekerjaan yang menggiurkan di sana, meninggalkan kampung-kampung halaman mereka.

Pada masa yang sama, kelas pemodal ini menjadi semakin berkuasa dari sudut pegangan aset, penyediaan peluang pekerjaan dan periuk nasi untuk rakyat. Hal ini telah menyebabkan struktur masyarakat feudal zaman baru terpecah membentuk prototaip awal masyarakat kapitalis moden yang mana penguasa ekonominya tidak semestinya berkuasa juga di ruang politik (hal ini berbeza dengan kapitalisme kewangan yang akan kita tinjau selepas ini).

Selain itu, disebabkan masyarakat tidak lagi mengikut tatacara zaman feudal, berlakunya kebangkitan serta kesedaran demokratik dalam kalangan rakyat. Perkara ini dapat dilihat ketika berlakunya perhimpunan Peterloo di Manchester pada tahun 1819 yang bermatlamat menuntut hak mengundi yang saksama untuk semua. Kesemua ini merupakan produk sejarah yang tidak wujud dalam vakum, apabila perubahan masyarakat pasca-industri telah meninggalkan konsepsi masyarakat feudal di belakang ke arah demokratisasi.

3.TheoryofJusticeProses demokratisasi yang berlaku di kebanyakan negara-negara di dunia tidak boleh dipandang enteng, apatah lagi dalam hal keadilan dan kesaksamaan. Sebab itulah, jika kita perhatikan, teori yang dibentuk Rawls dan Nozick – sengaja saya menekankan dua pemikir ini kerana mereka paling kontemporari – sangat menekankan sebuah masyarakat yang demokratik. Rawls umpamanya, ketika cuba menyelesaikan masalah yang belum selesai di bahagian ketiga A Theory of Justice, beliau telah menulis Political Liberalism yang awal-awal lagi cuba menjawab persoalan berkaitan sebuah masyarakat yang demokratik. Percubaan para pemikir ini bukanlah wujud secara sendirinya, tetapi merupakan sesuatu yang terhasil daripada pemerhatian mereka terhadap masyarakat dan dari situlah mereka membina teori untuk menegakkan keadilan dalam masyarakatnya.

Selain itu, negara moden juga dicirikan melalui institusinya yang berbeza dengan negara pramoden yang kebanyakannya berorientasikan ‘empayar’. Hal ini terpakai kepada sejarah hampir semua bangsa di dunia. Sebelum Perjanjian Westphalia pada 1648, ide untuk menetapkan sebuah negara berdaulat berdasarkan sempadan yang didefinisikan secara tetap dan jelas masih belum wujud di ruang wacana awam.

Perkembangan ini pula membawa implikasi yang pelbagai, antaranya isu-isu seperti persempadanan dan imigresen, kewarganegaraan, keadilan antara negara-negara yang berbeza, keadilan dalam institusi negara dan sebagainya. Kita menyaksikan bagaimana institusi negara moden telah didefinisikan tugasnya dari sudut yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, yakni hampir semua perkara yang sebelum ini sifatnya ‘individu’, kini menjadi hal berkaitan negara[4].

Sebagai contoh, ketika zaman empayar, manusia boleh bergerak ke sana ke mari sesuka hati tanpa perlu risau akan sempadan negara, imigresen dan perkara lain yang berkaitan dengannya. Namun, kini setelah negara moden didefinisikan sempadannya dengan jelas dan hal persempadanan itu pula diinstitusikan kewujudan dan mekanismenya, maka hal-hal keluar masuk sempadan bukan lagi isu individu semata-mata, tetapi telah menjadi isu negara. Di sinilah, kita lihat betapa berbezanya sebuah negara moden dengan negara pramoden zaman silam.

Selain isu imigresen dan pergerakan antara negara, persempadanan moden juga mewujudkan isu keadilan antara negara-negara yang berbeza. Bilamana wujudnya negara berdaulat yang tetap sempadannya dan individualistik sifatnya, maka wujudlah kepentingan peribadi yang berbeza-beza antara negara. Ada negara yang kaya-raya, ada pula yang miskin. Hakikat ini terjadi, pada kebanyakan masa, disebabkan oleh pengalaman sejarah negara-negara berkenaan. Negara-negara bekas koloni yang telah dijajah ratusan tahun seperti di Afrika contohnya telah dijarah habis-habisan sumbernya oleh kuasa Eropah, menjadikan mereka miskin seperti pada hari ini. Lebih malang, persempadanan moden menjadikan negara-negara ini terpisah, bukan sahaja dari sudut politik bahkan ekonomi, antara satu sama lain. Hal ini telah menjadikan kerjasama antara negara-negara dari sudut ekonomi lebih sukar dan pastinya menimbulkan lagi persoalan berkaitan keadilan kepengagihan, tetapi antara negara-negara yang berbeza pula.

Keadilan antara negara-negara yang berbeza tidak wajar dipandang remeh. Isu inilah yang menjadi subjek perbincangan berkaitan ketidakadilan terutamanya setelah kita memasuki alaf baru. Bukan sekadar itu, kewujudan penindasan negara kaya ke atas negara miskin akibat sistem perhubungan antarabangsa sedia ada juga wajar dipersoal, dan ini juga merupakan persoalan keadilan. Sebagai contoh, kita lihat bagaimana negara kaya menyebarkan hegemoninya ke atas negara yang kurang mewah materialnya melalui perjanjian perdagangan yang jelas-jelas menguntungkan mereka,[5]seperti isu TPPA yang sedang hangat sekarang. Nah, kesemua ini menunjukkan betapa struktur politik negara-negara moden itu sendiri merupakan satu isu yang perlu diperhalusi kea rah membentuk sebuah ide keadilan. Bukan sekadar keadilan antara individu dalam sebuah negara, malah keadilan antara negara yang berbeza juga menjadi isu yang tidak kurang mendesak setelah kita faham implikasi persempadanan negara moden kini. Hal ini, sekali lagi, tidak berlaku dalam struktur politik pramoden.

 

(b) Ekonomi

Kesan ekonomi adalah yang paling ketara berikutan Revolusi Perindustrian. Namun, kecenderungan dunia ke arah sebuah sistem ekonomi kapitalis telah wujud jauh lebih awal sebelum Revolusi Perindustrian, iaitu sejak abad ke-16 lagi, bilamana ekonomi perdagangan semakin berkembang dan ide pasca-pencerahan menekankan hak-hak masyarakat yang bersifat individualistik. Kesemua ini, ditambah dengan krisis feudalisme yang berlaku telah membawa kepada kebangkitan sebuah konsepsi ekonomi yang baharu dalam masyarakat global[6].

Selain itu, perubahan dalam aktiviti ekonomi yang dominan dalam masyarakat dapat dilihat dengan jelas sekali ketika Revolusi Perindustrian. Ekonomi yang sebelum ini kebanyakannya berteraskan pertanian dan ekonomi sara diri semakin berubah kepada pengeluaran besar-besaran (mass production) dan perindustrian. Kilang-kilang telah dibuka dengan pesat sekali di kota-kota industri.

4.MARX-N -ENGELSPerkembangan perindustrian dan ekonomi kapitalis telah ditelaah dengan baik sekali ketika itu oleh Karl Marx dan Friedrich Engels. Marx yang ketika itu hidup dalam buangan di London, memerhatikan secara dekat dan lantas mengkritik perkara yang sedang berlaku di hadapan matanya pada masa itu. Kritikan tajam lagi padu terhadap kapitalisme inilah yang telah membuka mata dunia terhadap kelompongan dalam pengagihan kek ekonomi yang menuntut kita untuk memikirkan mengenai keadilan dalam pemilikan harta dan pengagihan kekayaan, agar ketidakadilan tidak terus membarah dalam masyarakat.

Sebelum zaman Revolusi Perindustrian, manusia tidak pernah memikirkan satu dinamisme dan struktur ekonomi kapitalis seperti pada zaman perindustrian. Selain itu, bank-bank moden yang wujud dengan pesat selepas meningkatnya ekonomi berteraskan industry – sebahagiannya disebabkan keperluan kepada pembiayaan kewangan – juga merupakan perkara baru dalam sejarah kemanusiaan. Malah, jika kita lihat pada abad ke-21 ini, antara penyebab ketidakadilan ekonomi global yang terbesar adalah bank-bank agam ini, selain syarikat-syarikat multinasional yang tidak dipantau aktivitinya oleh kerajaan[7].

Sisi politik dalam negara moden bukan sahaja boleh dilihat secara tercerai dengan sisi masyarakat yang lain seperti ekonomi. Jika kita teliti pasca-krisis kewangan, baik 1997-98 di Asia atau 2008 di AS-Eropah, pengaruh politik adalah amat besar dalam menentukan keputusan yang sifatnya ekonomi. Sebagai contoh, ketika krisis 2008 di AS, Federal Reserve telah membuat keputusan untuk memberi bantuan bail-out untuk bank-bank awam, dan kerajaan pula dalam masa yang sama memotong beberapa bahagian subsidi untuk rakyat. Adilkah sebegitu, hanya kerana ide “too big to fail”[8]? Sedangkan ketika zaman pramoden, manusia tidak pernah terfikir akan kewujudan bank-bank dan lobi politik-korporat yang amat kuat pengaruhnya dalam ranah politik. Hal inilah yang, jika tidak difahami sedalamnya, akan menjadikan kita tersangkut dalam membina ide keadilan kita.

Maka, atas sebab-sebab inilah, kita perlu melihat secara tuntas apakah titik-titik perubahan masyarakat yang wujud pada zaman kini yang tiada pada zaman sebelumnya. Dari situ, barulah dapat kita memikirkan satu langkah lagi ke hadapan, ke arah membentuk ide keadilan yang segar berteraskan tradisi kita dalam kerangka masyarakat semasa.

Persoalan-persoalan Penting Yang Perlu Diperhalusi

Setelah kita memahami perubahan masyarakat dari dimensi politik dan ekonomi yang membawa kepada sebuah masyarakat moden, adalah penting juga untuk kita meneliti beberapa pertimbangan lain yang melibatkan keadilan. Hal ini juga penting untuk memastikan teori keadilan yang akan dibina nanti benar-benar mencakup keseluruhan aspek masyarakat kontemporari yang amat luas.

Jika kita meneliti perkembangan teori keadilan di Barat umpamanya, masih terdapat beberapa kelemahan yang major sifatnya. Hal ini termasuklah keadilan untuk mereka yang memiliki kecacatan mental atau fizikal yang serius, hal-hal keadilan antarabangsa serta keadilan untuk spesis bukan manusia[9]. Rawls sendiri mengakui melalui tulisannya bahawa persoalan-persoalan ini masih belum mampu dijawab oleh teorinya, dan pemikir selepasnya-lah yang banyak membangunkan teori untuk merangkum persoalan-persoalan ini bersama.

5.Original Position

Kebanyakan falsafah keadilan di dunia Barat – seperti yang dibangunkan Rawls dan Nozick – merupakan teori yang sifatnya kontraktarian (contractarian). Orientasi teori sebegini menuntut supaya wujudnya sebuah kontrak atau perjanjian antara manusia-manusia rasional yang saling bersetuju dengan satu ide keadilan dalam sebuah keadaan bersifat hipotetik, contohnya keadaan Original Position (OP) yang dihurai Rawls.

Di permulaan A Theory of Justice, Rawls telah meletakkan OP sebagai keadaan bilamana semua manusia rasional tidak mengetahui identiti dan kedudukan dirinya di dunia sebenar akan memilih teori keadilan yang paling rasional—di situlah Rawls mengandaikan bahawa teorinya akan diterima. Namun, masalah dalam konsepsi kontraktarian adalah mereka gagal mengambil kira pandangan atau kepentingan golongan yang cacat mentalnya, yang tidak mampu menerima atau menolak mana-mana konsepsi keadilan dan berbahas tentangnya. Perkara inilah yang cuba diselesaikan pemikir pasca-Rawls seperti Martha Nussbaum.

Di samping itu, kebanyakan teori keadilan yang wujud di dunia Barat banyak bertumpu kepada keadilan dalam sebuah masyarakat yang sama, secara mudahnya sebuah negara. Perkara ini menimbulkan masalah terutamanya selepas Perang Dunia ke-II, terutama apabila kita memikirkan perbezaan kedudukan kekayaan material antara negara yang berbeza. Hal ini mewujudkan tuntutan untuk para pemikir membentuk teori mengenai keadilan antarabangsa—adakah negara kaya mempunyai tanggungjawab untuk membantu negara miskin dari sudut kewangan? Jika ya, apa justifikasinya dan apakah dasar untuk negara miskin berhak ke atas negara kaya? Kesemua inilah yang telah membawa kita kepada perbahasan kosmopolitan lawan non-kosmopolitan dalam falsafah politik moden hari ini.

Kedudukan penguasa politik dan sistemnya juga merupakan sesuatu yang serius untuk difikirkan. Salah satu isu yang sensitif, sekurang-kurangnya di Malaysia, ialah kedudukan dan keistimewaan, termasuklah peruntukan kewangan yang diterima oleh raja-raja. Sepanjang sejarah, parti politik di Malaysia bersikap apologetik dan tidak benar-benar membahaskan kedudukan institusi ini terutamanya dalam persoalan membabitkan keadilan implikasi kewujudannya terhadap keadilan kepengagihan. Hal ini sebahagiannya disebabkan (1) struktur politik Malaysia yang meletakkan institusi ini sebagai paling tinggi dan (2) stigma masyarakat yang melihat bahawa sesiapa sahaja yang mempersoalkan institusi ini sebagai ‘derhaka’ atau ‘tidak cinta akan negara’. Sikap sebeginilah, saya kira, menjadi antara penghalang yang serius untuk kita memikirkan persoalan-persoalan berkait keadilan kepengagihan secara serius dan holistik.

Di tahap ini, kita tidak boleh lagi berfikir untuk membina ide keadilan masyarakat tetapi langsung menolak ke tepi satu atau beberapa struktur politik yang kelihatan seperti ‘kebal’ atau ‘berbahaya’. Kita harus mempunyai keberanian dalam hal ini demi membina sebuah masyarakat yang baik pada masa depan. Adilkah keadaannya, jika beberapa kerat orang dalam institusi ini menerima wang berbilion daripada dana awam – termasuklah, contohnya, pembinaan Istana Negara yang terbaru – tetapi pengurusan pengagihan wang untuk rakyat termiskin masih tempang dan berlopak sana-sini? Perkara inilah antara yang perlu mula difikirkan oleh para pemikir yang serius dalam kalangan kita.

6.istananegaraTanggungjawab Pemikir Muslim

Setelah kita menelusuri perkembangan zaman pramoden-moden secara ringkas dan melihat beberapa persoalan yang, saya kira, mendesak, saya akan menggariskan beberapa tanggungjawab yang perlu digalas oleh intelektual Muslim kontemporari kini. Hal ini disebabkan, sepeti yang telah saya coretkan di bahagian pembukaan makalah tadi, kita masih belum memiliki sebuah teori keadilan kepengagihan berlandaskan tradisi Islam dan kebudayaan setempat yang dibina bersesuaian dengan konteks negara moden dan institusinya.

Dengan menyebutkan hal tersebut, saya tidak menafikan bahawa telah wujud banyak teori keadilan yang dibangunkan oleh ilmuwan Islam terdahulu yang agung seperti Ibn Taimiyah, al-Mawardi dan al-Juwaini. Namun, jika kita perhatikan, kebanyakan mereka menulis dengan kerangka negara yang mereka duduki, tanpa ada pengetahuan mengenai sebuah negara moden, umpamanya masyarakat industri yang berkembang pasca-Revolusi Perindustrian. Kesemua persoalan inilah yang mereka tinggalkan untuk kita dalami dan bangunkan teori untuk masyarakat zaman kita pula.

Adalah menjadi satu kesalahan, terutamanya apabila dipersoalkan secara serius mengenai teori keadilan berteraskan tradisi Islam yang kontemporari, untuk mengatakan bahawa kita sudah punya teori yang dibangunkan ilmuwan agung zaman silam. Pemikiran seumpama ini merupakan satu kesalahan yang besar sekali, terutamanya setelah kita lihat perbezaan antara masyarakat kita dari segi struktur politik dan ekonomi yang telah kita tinjau tadi. Disebabkan mereka – para ilmuwan silam itu – tidak membangunkan teori atas satah masyarakat kontemporari yang kita hidup kini, maka menjadi tanggungjawab kitalah untuk menggalas beban dan amanah ini.

Selain itu, jika kita tinjau perkembangan intelektual Muslim zaman silam, mereka membina teori berlandaskan prinsip yang wujud dalam tradisi Islam, tetapi teori mereka boleh sahaja menjadi amat berbeza dengan ide yang pernah wujud dalam umat Islam sebelum mereka.

Sebagai contoh, Ibn Taimiyah pernah memberi komentar yang berbeza dengan sesuatu yang pernah disebut oleh Rasulullah berkenaan penetapan harga barangan. Ketika wujudnya hadis yang melarang penguasa untuk menetapkan harga barang[10] (yang, malangnya, selalu digunakan secara membuta tuli oleh libertarian), Ibn Taimiyah telah melihat hadis ini dalam konteks yang lebih luas yakni keadilan ke atas masyarakat. Dari situlah, beliau membangunkan teori yang menyebut bahawa hadis tersebut hanya terpakai dalam konteks apabila transaksi itu adil, dan jika perlu dilakukan penetapan harga agar keadilan terlaksana, maka wajarlah ia dilakukan[11].

Di sinilah, kita dapat lihat salah satu ide yang berteraskan prinsip Islam, tetapi dibangunkan berpandukan realiti setempat. Semangat inilah yang perlu kita contohi, apabila kita benar-benar memahami tuntutan keadilan berteraskan tradisi kita tanpa perlu terikat dengan teori-teori dalam masyarakat terdahulu. Namun, untuk mencapai tahap ini, kita tidak dapat tidak perlu memahami secara tuntas dahulu tradisi keilmuan Islam terdahulu dan bagaimana pembentukan idea para ilmuwan silam, barulah kita mampu membangunkan sesuatu yang baru. Hal inilah juga yang dilakukan Rawls yang berpaut rapat pada tradisi kontraktarian Rousseau dan keadilan Hume atau Nozick yang merujuk aksiom Locke ‘enough and as good’ untuk membangunkan teori mereka.

Untuk tujuan ini, kita memerlukan sarjana yang benar-benar menguasai bukan sahaja disiplin khusus ilmu Islam seperti fiqh dan syariah, tetapi juga falsafah politik, ekonomi dan pemikirannya, antropologi dan sosiologi, serta sejarah dan persejarahan. Kesemua ini adalah penting dalam menanggapi permasalahan masyarakat secara komprehensif dan menyeluruh. Maka, daripada cabang-cabang ilmu tersebut, barulah mampu kita bangunkan teori keadilan kita.

7.OthmaniyyahKesimpulan

Membentuk sebuah ide keadilan kepengagihan bukanlah kerja mudah, terutamanya apabila kita memikirkan masyarakat moden dengan segala implikasi yang wujud di dalamnya. Tamadun Barat sendiri pun, masih lagi bergelut dalam memahami masyarakat moden dan dinamismenya ini. Jika Barat dengan tradisinya amat bersungguh membentuk ide yang terbaik untuk masyarakat, mengapa kita tidak boleh mencontohi serta belajar daripada mereka?

Soalan ini adalah penting untuk difikirkan, terutamanya selepas kejatuhan Uthmaniyah yang, menurut Braudel, tertinggal dari sudut kemajuan material di belakang Eropah selama 200 tahun[12]. Hal ide dan pemikiran inilah, jika tidak ditanggapi secara serius, bakal menjadikan generasi akan datang lupa akan khazanah keilmuan Islam yang maha kaya itu. Lebih parah, jika umat Islam dituduh tidak mempunyai khazanah keilmuan langsung. Ketika perkara itu berlaku, hanya diri kita, umat Islam, yang paling wajar dipersalahkan kerana tidak menyambung tradisi ilmu kita sendiri.

Makalah ini tidak memberi solusi, malah tidak berhajat langsung ke arah itu. Tetapi, saya – dan harapnya para pembaca sekalian – sedar bahawa menyenaraikan masalah adalah sebahagian daripada solusi yang akan kita sempurnakan suatu hari nanti. Projek intelektual ini boleh jadi mengambil masa puluhan tahun, malah mungkin kita tak sempat menyiapkannya dan disambung pula oleh orang lain. Namun, kita harus sentiasa berazam supaya kita mampu menghadap Tuhan dengan mengatakan bahawa pesan-Nya lewat ayat ‘al-‘Adl wa al-Ihsan’ itu sudah kita penuhi!


Hazman Baharom adalah graduan Ekonomi dan Pengajian Sosial di University of Manchester, UK dan calon Sarjana bagi Pengajian Asia Tenggara di University of Washington, US. Beliau juga merupakan Intern di Islamic Renaissance Front.

 

 


[1] Braudel merupakan sejarawan yang kuat mempertahankan ideanya bahawa analisis perubahan sosial yang merupakan ciri disiplin sosiologi perlu diterapkan dalam analisis sejarah. Perkara ini ditekankan

melalui karyanya yang ditulis sebanyak tiga jilid, Civilization and Capitalism dan kumpulan syarahannya, On History.

[2] Lihat Eric Hobsbawm, The Age of Revolution 1789-1848.

[3] Lihat Friedrich Engels, The Conditions of the Working Class in England.

[4] Lihat Anthony Giddens, The Consequences of Modernity

[5] Lihat Joseph E. Stiglitz, Globalization and Its Discontents

[6] Lihat Immanuel Wallerstein, The Modern World-System, Vol. 1.

[7] Lihat Joseph E. Stiglitz, The Price of Inequality

[8] Lihat Mark Blyth, Austerity: The History of A Dangerous Idea dan Jeffrey Sachs, The Price of Civilization

[9] Persoalan-persoalan ini telah digariskan dan cuba diselesaikan dengan baik oleh Martha Nussbaum menerusi bukunya, Frontiers of Justice: Disability, Nationality and Species Membership.

[10] On the authority of Anas (raḍiyallāhu anhu) who said, “The people said to the Prophet (ṣallallāhu `alayhi wa-sallam): ‘Messenger of Allāh! Prices (for goods) are expensive, so can you set them right for us?’ He (ṣallallāhu `alayhi wa-sallam) replied, ‘Verily, He is Allāh, Who is Al-Khāliq (The Creator), Al-Qābiḍ (The Constrictor), Al-Bāsiṭ (The Releaser), Ar-Rāziq (The Sustainer), and Al-Musa`ir (The Appraiser). Indeed, I hope to meet my Lord without anyone of you holding against me any act of injustice with respect to blood or wealth.” [Abu Dawud, 3451; al-Tirmizi, 1314; Ibn Majah, 2200]

[11]Lihat Ibn Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa. Salah satu ide beliau diringkaskan di sini: http://islamicstudies.islammessage.com/ResearchPaper.aspx?aid=242

[12] Lihat Fernand Braudel, A History of Civilizations

 

 

 

 

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022