Renungan Ke Atas Kesamarataan Peluang Yang Adil – Bahagian I
October 6, 2014

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu untuk memberi amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah sebaik-baik pemberi pengajaran kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Maha Melihat.” [Al-Quran; 4: 58]

Melalui wacana keadilan, para pemikir sepanjang zaman telah merumuskan teori tersendiri bagi mengungkap prinsip-prinsip pengagihan yang adil untuk masyarakatnya. Hal ini terpakai untuk sejarah pemikiran dalam mana-mana tradisi, sama ada Islam, Barat mahupun Timur. Kebanyakan persoalan ini cuba dijawab dengan pendekatan teori politik, selain pendekatan metafizik.

Pemikir seperti Michael Walzer, John Rawls, Jürgen Habermas dan Robert Nozick merupakan antara filasuf kontemporari yang wajar diberi perhatian akan teori-teori mereka, terutamanya ketimbang kehendak zaman yang sudah melepasi kapitalisme industri bersama segala implikasinya.

1.Para4Dalam tradisi Barat, wacana keadilan mereka mewarisi premis-premis awal daripada pemikir pasca-Pencerahan, seperti John Locke dan John Stuart Mill. Locke dan Mill banyak menggariskan lewat The Two Treatises dan On Liberty, bahawa seorang manusia itu memiliki hak yang tidak boleh dicabul, dan ia memilikinya secara individu. Hak ini bukan diberi oleh sesiapa (sebagaimana penjelasan Hobbes dalam Leviathan; hak itu wujud daripada autoriti), tetapi wujud secara alamiah daripada kewujudan manusia itu sendiri. Doktrin ini, yang kebanyakan daripada kita pada hari ini kenali sebagai hak-hak tabii (natural rights) merupakan pemikiran politik yang membentuk kerangka awal ide keadilan dalam tradisi Barat. Ia dibangunkan atas dasar individualiti yang kuat, yang lahir daripada wacana ketika itu yang meletakkan manusia sebagai subjek, dan selainnya sebagai objek.

Sebagaimana yang telah saya singgung sebelum ini melalui satu makalah berkenaan keadilan, tradisi keilmuan Islam selepas kejatuhan Uthmaniyah seolah-olah bantut untuk merespons terhadap kehendak zaman dan segala bentuk institusi moden yang muncul. Kita terlalu panik dengan kehilangan kekuasaan yang selama ini tergambar melalui dominasi Empayar Uthmaniyah dalam politik dunia, tetapi tiba-tiba hilang begitu sahaja sehinggakan kita teraba-raba menggarapi kenyataan.

Perkara ini perlu kita fahami kerana ketika itu Barat sudah memahami modernisasi dan industrialisasi yang lebih awal daripada umat Islam, dan mereka sudah pun menulis tentang masyarakat pasca-industri, tatkala mana negara-negara umat Islam masih bertatih memahami kilang-kilang dan mod ekonomi baharu itu. Selain itu, umat ketika itu memerlukan sesuatu untuk mengisi vakum kekuasaan itu, maka lahirlah Islamisme, gerakan Islam dengan projek politik yang diwarisi semangat dan bentuknya sehingga ke hari ini di kebanyakan negara-negara umat Islam.

Namun persoalannya, gerakan ini sedikit sekali bertindak secara proaktif menggariskan prinsip keadilan yang lahir dari rahim Islam untuk mereka ajukan sebagai rencana falsafah seperti teori-teori Rawls atau Habermas. Di sini, saya kira wujud kekosongan yang serius daripada pemikir Muslim kontemporari untuk pertamanya, memahami teks-teks klasik bersama konteksnya dan kedua, menggariskan pula teori keadilan dari warisan tradisi Islam bagi menjawab persoalan-persoalan kritikal kontemporari. Dua tugas inilah yang masih gagal digalas pemikir Muslim sejak kejatuhan Uthmaniyah.

2.Para8Malah, pada hari ini pula, antara cabaran besar yang perlu dihadapi ialah struktur kenegaraan moden bersama segala institusinya yang bersifat far-reaching dan ekstensif. Dalam kaitan ini, telahan Rawls bahawa manusia moden sejak lahir lagi tidak mampu memilih untuk berada dalam mana-mana institusi kepolitikan adalah ternyata benar, apabila pada hari ini, hidup dan mati rakyat pun diinstitusikan. Pada hari kelahiran, manusia moden terus didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara, malah ketika hari kematian pun, jabatan dan institusi yang sama akan memainkan peranannya. Maka, perkara-perkara yang telah dinilai sebagai hak asasi oleh pemikir hak tradisional seperti Locke dan Mill, seputar kebebasan memilih dan bergerak, memerlukan penelitian yang lebih mendalam supaya hak-hak itu benar-benar mampu direalisasikan masyarakat kontemporari.

Sebab itulah, saya berhujah, kita perlu dan mesti mengambil manfaat daripada hasil tulisan pemikir-pemikir Barat terutamanya dalam persoalan kontemporari disebabkan pertamanya, kedalaman dan ketelitian mereka dalam membahaskan persoalan kontemporari dan kedua, kefahaman terhadap konteks masyarakat kini yang kompleks sifatnya banyak digariskan menerusi kajian-kajian sosial yang dipelopori Barat.

Sebagai contoh, kajian tentang kumpulan homoseksual dan transgender (LGBT). Pemikir Islam, setakat ini, masih belum saya temui yang secara jujur membahaskan persoalan ini secara mendalam melalui metod kajian sosial selain hanya sibuk menghentam dan menghukum kumpulan ini sebagai ‘terpesong’, ‘sesat’ dan sebagainya. Melalui kajian sosiologis seperti Carol Smart, Rapoport et al, Sue Heath dan lain-lain itulah, dapat kita memahami sisi-sisi perbahasan seputar kekeluargaan berkait ruang awam-ruang peribadi dengan lebih mendasar. Peri kompleksnya masyarakat tidak boleh sesekali dipandang ringan, apatah lagi pengalaman industri dan pasca-industri banyak mengubah struktur dan perhubungan kuasa dalam masyarakat secara umum.

Dalam hal keadilan pula, saya kira ide Rawls adalah sangat baik untuk menjadi titik permulaan. Selain menjadi antara yang pertama menghidupkan semula perbahasan ide keadilan politik di Barat, Rawls juga merupakan seorang egalitarian yang revolusioner, dengan menggagaskan ide yang dikenali sebagai kesamarataan peluang yang adil (fair equality of opportunity).

Makalah ini akan berkisarkan proses bagi mencapai cita-cita kesamarataan ini dan tantangan yang perlu ditanggapi. Saya akan melihat persoalan asas berkaitan hak asasi manusia sepanjang tiga generasi dalam evolusinya, dan bagaimana persoalan kesamarataan peluang yang adil mampu mengayakan pemahaman kita tentang hak manusia yang benar-benar asasi. Untuk tujuan itu, saya akan banyak memanfaatkan hubung kait keberdayaan (capability) dengan kemampuan manusia merealisasikan hak mereka seperti yang terangkum dalam tulisan-tulisan Isaiah Berlin, Amartya Sen dan Martha Nussbaum. Akhir sekali, saya akan merumuskan sebab mengapa Malaysia masih terkebelakang dalam memerkasakan hak-hak manusia bukan sahaja secara tradisional, tetapi lebih mendasar, kemampuan manusia menikmati hak asasi mereka.

Hak Asasi Manusia dan Kesamarataan Peluang

Ide asal hak asasi manusia bermula daripada bagaimana merasionalkan hak-hak yang dimiliki seseorang individu. Hak seperti kebebasan bergerak, kebebasan bersuara dan kebebasan dalam ruang peribadi merupakan fokus awal pemikir-pemikir liberal klasik seperti Locke dan Mill. Mereka bertumpu kepada hak yang tidak boleh dicabul sebagai individu; dengan kata lain, hak yang mesti dijamin oleh kekuasaan terhadap seorang individu.

Namun, ketika Eropah memasuki zaman industri, keadaan masyarakat ketika itu mendesak kepada penilaian semula ke atas hak-hak tradisional yang berpaksikan individualiti itu. Jika seorang manusia berhak sepenuhnya ke atas hartanya dan sebarang bentuk pelanggaran hak tidak boleh dijustifikasi, maka bagaimana dengan hakikat bahawa hanya terdapat sedikit manusia yang memiliki modal?

Ketika terpecahnya konsepsi politik feudal dengan meningkatnya perindustrian, golongan pemodal menjadi orde politiko-ekonomi yang baharu ketika itu[1]. Jika hak pemilikan harta adalah hak yang tidak tercabul (inalienable right), maka bagaimana dengan kesenjangan ekonomi dan eksploitasi yang wujud akibat kelakuan golongan pemodal ke atas pekerja mereka? Kelakuan ini rasional, jika logik yang digunakan itu mengikut logik pasaran dan efisien ekonomi, tetapi perkara ini juga, tidak dinafikan, mewujudkan kekangan ke atas sebahagian besar manusia untuk menikmati hak-hak tradisional mereka. Di titik inilah, wujudnya keperluan untuk skop dan bentuk hak asasi manusia itu sendiri dinilai semula, mengakibatkan kepada kemunculan pemikir hak asasi generasi kedua seperti Isaiah Berlin dan Jeremy Waldron.

3.Para16Pemikir generasi kedua ini barpandangan bahawa hak asasi manusia mesti digali lebih daripada hak-hak tradisional, kerana dengan hanya memastikan hak tradisional terjamin, masih ada manusia yang tidak mampu menikmati haknya. Perkara inilah yang telah disinggung Berlin:

It is true that to offer political rights, or safeguards against intervention by the state, to men who are half-naked, illiterate, underfed, and diseased is to mock their condition; they need medical help or education before they can understand, or make use of, an increase in their freedom. What is freedom to those who cannot make use of it? Without adequate conditions for the use of freedom, what is the value of freedom?[2]

Di sini, dapatlah kita fahami bahawa ketiadaan jalan untuk menikmati kebebasan memberi kesan kepada nilai kebebasan asasi yang seseorang itu miliki. Bermakna, jika seseorang itu tidak mendapat pendidikan yang cukup sebagai asas berfikir umpamanya, kita tidak boleh mengharapkan hak dan kebebasan bersuara yang diberi kepadanya akan dimanfaatkan, kerana ia sendiri tidak mampu untuk bersuara akibat kekangan intelektual yang dihadapinya. Begitu juga dengan perkara-perkara asas lain seperti kesihatan. Atas pertimbangan hal-hal inilah, berlakunya evolusi dalam pemikiran hak asasi manusia daripada generasi pertama yang berkisarkan hak-hak tradisional individu kepada generasi kedua yang mula memasuki daerah hak-hak sosio-ekonomi[3].

Sebab itulah, apabila kita berfikir tentang keadilan dalam pengagihan sumber, kita perlu memastikan manusia benar-benar bersaing secara adil dalam mendapatkan kekayaan sumber yang ada. Adalah tidak wajar untuk menjadi naif dengan mengambil pendekatan laissez-faire keterlaluan dengan menyerahkan semua tugas pengagihan kepada kuasa pasaran, ataupun pada ekstrim yang lain, mengagihkan semua hal secara sama rata bergantung kepada autoriti kekuasaan. Dari sini, adalah rasional untuk kita memastikan semua pihak memiliki kesamarataan peluang (bezakan dengan kesamarataan hasil), agar yang benar-benar berusaha kuat dan bersungguh-sungguh memiliki potongan kek yang terbesar. Namun masalahnya, kita selalu sahaja melihat hal kesamarataan peluang (equality of opportunity) ini dengan cara yang selapis sahaja, yakni apabila kita memastikan semua orang memiliki peluang bersaing secara sama rata; dan berhenti setakat itu. Kita jarang sekali memikirkan adakah kesamarataan peluang itu benar-benar mampu dimanfaatkan oleh semua orang, bahkan kita tidak boleh menolak hakikat bahawa akan wujud manusia yang tidak dapat memanfaatkan kesamarataan ini akibat kekangan yang ia hadapi. Di sinilah, saya berhujah, terdapatnya ketidakadilan yang sifatnya amat dalam sekali dan tidak boleh dilihat secara kasar.

Dalam menanggapi persoalan ini, saya cenderung untuk bersetuju dengan Amartya Sen dan Martha Nussbaum yang telah membangunkan pendekatan keberdayaan (capability approach) mereka bagi memperkasa masyarakat agar mereka mampu memanfaatkan hak mereka, sekali gus mencapai keadilan kepengagihan. Mereka mahu menyediakan alternatif untuk pendekatan KDNK yang sangat empirik yang selalu digunakan untuk menilai pencapaian ekonomi sesebuah negara. Tetapi adalah sangat mengganggu kita, apabila KDNK sedunia semakin meningkat, malah di kebanyakan negara membangun, KDNK mereka adalah stabil jika tidak meningkat sekurang-kurangnya pada 2010 ke atas; tetapi keadaan masyarakat miskin sedunia kekal statik, jika tidak semakin teruk. Untuk pengukuran yang lebih baik, mereka mahu mengajukan pendekatan yang lebih baik dengan bermula melalui dua soalan utama: (1) Apakah yang sebenarnya seorang manusia mampu buat dan jadi, dan (2) Apakah peluang sebenar (real opportunities) yang boleh mereka manfaatkan?[4] Pendekatan sebegini akan menitikberatkan keperluan asas agar manusia mampu dan berdaya menikmati hak-hak mereka dalam partisipasi politik dan kemandirian ekonomi.

4.Para21Sen pula, melalui adikarya beliau Development As Freedom, telah mengajukan peristiwa Kebuluran Irish (Irish Famine) ketika awal abad ke-19 untuk menjelaskan pendekatan keberdayaan ini. Menurut Sen, ketika berlakunya peristiwa itu, bukannya makanan asasi mereka iaitu ubi kentang tidak kedapatan di sana, tetapi majoriti rakyat Ireland tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk mendapatkannya. Maka, hasilnya terjadilah peristiwa kebuluran antara yang terbesar dalam sejarah Eropah itu. Kedahsyatan dan tragedi ini juga direkodkan melalui karya sastera seperti Potato People karya Angela Wright itu.

Jika kita perhatikan contoh di Malaysia, saya kira isu pemerkasaan Orang Asli dan penduduk di pedalaman amat berkaitan dengan perbincangan ini. Pada hari ini, kelompok ini seolah-olah terpinggir kebajikan mereka oleh pihak berwajib, Lihat saja kualiti sekolah dan pusat kesihatan mereka. Hakikat ini telah menyebabkan banyak persatuan masyarakat sivil yang bergerak dan berhempas-pulas menyelamatkan keadaan dengan mengisi lompong yang wujud ini. Mereka banyak menjalankan kegiatan seperti perkhidmatan kesihatan percuma, membuka pusat pengajian asas kepada orang asli, dan sebagainya. Tetapi harus diingat, usaha-usaha sebegini, buat masa ini, masih sangat kecil impak dan kesannya kepada masyarakat pedalaman secara keseluruhannya. Ia memerlukan komitmen terutamanya daripada autoriti kekuasaan untuk membaiki keadaan mereka.

Tentang orang asli dan pedalaman, saya berhujah, kita selalu sahaja tidak memahami keadaan mereka kerana mereka tidak berdaya untuk bercakap mewakili diri mereka sendiri. Di kala banyak NGO dan pertubuhan masyarakat sivil yang lain berkempen untuk memberi suara kepada orang asli bagi menyuarakan hak mereka yang terabai, seperkara penting yang perlu dipersoalkan ialah, adakah mereka mampu menggunakan hak tersebut? Ketidakmampuan mereka ini pastinya akan menyebabkan hak bersuara mereka yang kita mahu perkasakan itu sia-sia kerana mereka sendiri akhirnya akan gagal bersuara untuk diri mereka sendiri akibat kekangan intelektual dan keadaan fizikal. Secara mudahnya, penumpuan terhadap keperluan asas kemanusiaan, yakni pendidikan dan kesihatan untuk orang asli perlu diberi tumpuan dahulu, barulah kemudian mereka mampu menyedari lantas menyuarakan kebimbangan atau keresahan mereka.

Keadaan kesihatan dan pendidikan orang asli sewajarnya sangat merisaukan kita. Pada tahun 2008, hanya 63 orang daripada keturunan orang asli yang berjaya ke IPTA[5]. Dari sini, amat jelas dapat kita lihat bahawa pembangunan ekonomi dan sosial yang kita kecapi kini sangat tidak berekuiti, kerana masih ada kelompok yang seolah-olah dinafikan kewujudan mereka. Memang benar, kita di bawah Perlembagaan Persekutuan sudah pun menjamin hak bersuara dan hak partisipasi politik kepada orang asli, tetapi seperti yang telah saya sebutkan tadi, mereka tiada mampu menggunakan hak tersebut. Jaminan terhadap kualiti pendidikan yang mereka terima di peringkat rendah dan menengah, bersama keadaan kemiskinan keluarga mestilah dibaiki terlebih dahulu. Status kemiskinan orang asli juga amat merisaukan, bilamana pada 2008, terdapat kira-kira 25,000 penduduk orang asli yang berada dalam kategori miskin tegar, miskin dan mudah miskin, dan hanya 2755 sahaja yang dikategorikan sebagai tidak miskin.[6]

5.Para25Di samping itu, kes keciciran pelajar sekolah juga tinggi dalam kalangan mereka, dengan perangkaan UNICEF menunjukkan bahawa 80% anak-anak orang asli tidak menamatkan pengajian menengah. Perkara ini disebabkan pelbagai faktor, antaranya sikap ibu bapa mereka terhadap pendidikan, kemiskinan keluarga yang menyebabkan anak-anak lebih baik bekerja bersama, sikap masyarakat orang asli yang telah lama hidup miskin dan tidak berpendidikan, faktor geografi dan faktor pemakanan harian mereka. Kesemua ini, jika dilihat secara mendalam, akan mengarah kepada keperluan asas kemanusiaan, iaitu kesihatan dan kestabilan ekonomi[7]. Keluarga yang miskin akan memerlukan anak-anak juga bekerja bagi menampung keperluan mereka. Malah, jika kita lihat, sekolah-sekolah di kawasan orang asli amatlah daif keadaannya, dan perkara inilah yang antara lain menyebabkan mereka tidak berminat untuk belajar. Kesemua ini, dalam jangka panjang, akan memberi kesan negatif terhadap pemerkasaan hak-hak asasi mereka sebagai warganegara untuk berpartisipasi secara aktif dalam politik dan ekonomi. Walhasilnya, hak-hak masyarakat ini tetaplah tidak terjaga akibat kegagalan mereka bercakap bagi pihak diri mereka sendiri.

Begitu juga halnya dengan keadaan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negara kita. Rata-rata mengetahui bahawa perkhidmatan kenderaan awam di Malaysia adalah tidak mesra OKU, dan hal ini menyebabkan kebebasan mereka untuk bergerak terbatas. Sebagai contoh, mereka yang menggunakan kerusi roda amat susah untuk bergerak dengan kemudahan pengangkutan awam sedia ada. Laluan pejalan kaki di tepi jalan terutamanya Kuala Lumpur semakin lama semakin mengecil akibat pembangunan yang kian rancak. Semua ini jelas tidak mesra OKU dan menyusahkan urusan mereka untuk bergerak bebas sama seperti orang lain, menjadikan OKU memilih untuk memiliki kereta sendiri. Tetapi, jika OKU itu pula bukan berasal daripada keluarga berada atau ia sendiri tidak mampu bekerja untuk menyara hidupnya, pastinya ia tidak mampu memiliki kenderaan sendiri. Ditambah lagi dengan pengangkutan awam yang tidak mesra OKU, tentunya limitasi yang mereka hadapi amat mengekang pergerakan sehari-hari.

Selain itu, begitu juga halnya dengan pendidikan bagi mereka yang kurang penglihatan dan pendengaran. Mereka selalu sahaja terpinggir daripada mendapat pendidikan asas yang setara dengan orang lain hanya disebabkan ciri fizikal yang mereka miliki. Rata-rata kualiti prasarana yang disediakan di Malaysia untuk golongan ini mendapat pendidikan asas yang berkualiti masih berada di tahap sederhana, menjadikan kebarangkalian mereka untuk akhirnya keluar bersaing secara setara dengan orang lain amat tipis[8]. Hal ini sekali lagi mengakibatkan wujudnya jurang antara pendidikan biasa dengan pendidikan golongan yang kurang daya pendengaran dan penglihatan, menjadikan mereka sukar memanfaatkan hak bersuara kerana kekangan intelektual sejak dari awal lagi.

An indigenous Malaysian holds placard during demonstration in Kuala LumpurMengapa dalam isu pemerkasaan orang asli, saya sangat mementingkan persoalan ‘mewakili diri sendiri’ dan tidak ‘diwakilkan oleh orang lain’ dalam bersuara? Sebenarnya persoalan ini sungguh penting terutamanya jika kita melihat perbezaan struktur kekuasaan antara kita dengan orang asli. Sejak sekian lama, kekuasaan politik telah dipegang oleh manusia bandar, bukan orang asli yang memilih untuk berada di pedalaman sejak ribuan tahun dahulu. Sejak wujudnya negara moden dengan institusinya, kita tidak boleh menafikan bahawa cara pandang kita terhadap golongan asli ini didefinisikan dengan kedudukan kita yang punya kekuasaan, menjadikan kita yang urban dan moden ini melihat mereka sebagai ‘yang asing’ (the other), yang eksotik, sebagai kontra kepada kita ‘yang normal’.[9]

Pengetahuan berkenaan mereka yang autoritatif akan didefinisikan oleh kita, bukan mereka; dan tren ini amat berbahaya. Cara pandang sebegini akan membuahkan pelbagai sikap yang tidak adil terhadap mereka, walaupun kita cuba secara jujur dalam membantu mereka memperkasakan hidup mereka sendiri. Sebagai contoh, kita akan masih melihat mereka sebagai puak yang ‘menolak kemajuan’, ‘hidup atas pokok’ dan pelbagai gambaran aneh lagi, sedangkan mereka sudah sekian lama tidak mampu bersuara mewakili diri mereka sendiri, sebahagiannya disebabkan struktur kekuasaan, selain ketidakmampuan mereka menikmati hak-hak asasi manusia. Hanya dengan memastikan kemampuan mereka berpartisipasi secara aktif dalam politik dan ekonomi, barulah kita dapat menyediakan sebuah demokrasi yang matang dan berfungsi, yang benar-benar memberi suara kepada segenap lapisan masyarakat.

Maka, saya kira di sini sudah jelas kepada kita bahawa, bagi memastikan manusia mampu memiliki kesamarataan peluang dan menikmatinya, perlulah juga dipastikan keberdayaan mereka juga diperkasakan. Dalam kaitan ini juga, hak-hak asasi yang paling asas seperti kebebasan bersuara, bergerak dan berpersatuan juga hanya boleh dimanfaatkan sekiranya manusia memiliki keberdayaan, mereka berdaya untuk memanfaatkan hak-hak itu. Kesamarataan peluang, sesungguhnya, tidak lagi boleh dipandang secara selapis, tetapi mestilah melihat bagaimana kemampuan rakyat menjadi sama rata dalam memiliki peluang bersaing itu sendiri. Dengan itu, kita memerlukan sebuah teori yang lebih holistik bagi membahaskan kesamarataan peluang.


HazmanHazman Baharom adalah graduan Pengajian Ekonomi dan Sosial di University of Manchester, UK dan calon MA Pengajian Asia Tenggara, University of Washington. Beliau juga merupakan pengasas- bersama Universiti Terbuka Anak Muda dan seorang Intern di Islamic Renaissance Front.

 

 


[1] Lihat Eric Hobsbawm, The Age of Revolution dan Eric Hobsbawm, The Age of Capital

[2] Lihat Isaiah Berlin, Two Concepts of Liberty; dalam Four Essays on Liberty; m/s 17

[3] Lihat Jeremy Waldron, Liberal Rights: Two Sides of the Coin

[4] Lihat Martha Nussbaum, Creating Capabilities: The Human Development Approach

[5] Lihat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Status Pendidikan Orang Asli 1997-2008

[6] Lihat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Status Kemiskinan Penduduk Orang Asli 1997-2008

[7] Lihat Mohamad Johdi Salleh dan Abdul Razak Ahmad, Kesedaran Pendidikan Dalam Kalangan Masyarakat Orang Asli; dalam Masyarakat Orang Asli: Perspektif Pendidikan dan Sosiobudaya, ed. Abdul Razaq Ahmad & Zalizan Mohd Jelas (2009).

[8] Lihat kertas Lokman bin Tahir & Nurul Qistin bt Mustafa, Faktor-faktor yang Mempengaruhi Keberkesanan Pendidikan Khas Teknik dan Vokasional Untuk Golongan Orang Kurang Upaya di Tiga Buah Politeknik

[9] Hal ini dijelaskan lanjut oleh Michel Foucault dalam analisis wacana beliau dan perkaitan antara kekuasaan dan pengetahuan (power-knowledge). Edward Said juga membahaskan perihal ini dengan jelas melalui ‘Orientalism’ dan ‘Culture and Imperialism’, yang memperlihatkan bagaimana dunia Barat yang memegang kekuasaan mendefinisikan dunia Timur ketika itu. Pengetahuan tentang Timur itu ‘dicipta’ dan ‘diwakilkan’, bukan orang Timur mewakilkan diri mereka sendiri.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022