Undang-undang Negara dan Paksaan Agama – Bahagian I
October 23, 2014

“Individuals have rights, and there are things no person or group may do to them (without violating their rights). So strong and far-reaching are these rights that they raise the question of what, if anything, the state and its officials may do.”

[Robert Nozick dalam Anarchy, State and Utopia]

“[A]ny observance of Shari’a can be best achieved when the state is neutral regarding all religious doctrines. Enforcing a Shari’a through coercive power of the state negates its religious nature, because Muslims would be observing the law of the state and not freely performing their religious obligation as Muslims.”

[Abdullahi Ahmed an-Naim dalam Islam and the Secular State: Negotiating the Future of Shari’a]

 

1.Para3Selepas kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyah, dan sebagai respon umat Islam terhadap vakum kekuasaan, banyak pertubuhan dan gerakan telah ditubuhkan di negara-negara majoriti Muslim demi berpartisipasi dalam proses politik dan cuba menerapkan unsur Islam dalam pemerintahannya. Mereka aktif terlibat dalam proses demokrasi dan pilihan raya, serta giat meyakinkan rakyat dengan tawaran yang akan dibawa mereka sekiranya diberi mandat kekuasaan.

Pun begitu, kita menyaksikan bagaimana persoalan kodifikasi undang-undang oleh sebuah autoriti kekuasaan tidak boleh dilihat secara selapis, kerana implikasi mereka amat besar dan mencapah lapisannya. Umat Islam, khususnya penggerak dalam gerakan Islam, selalu sahaja mengandaikan bahawa proses ini mudah dan ringkas, yakni setelah mendapat mandat menerusi proses demokrasi, mereka boleh menetapkan apa sahaja undang-undang yang mereka fikirkan “selari dengan tuntutan Islam”.

Sebagai contoh, pelaksanaan hudud di Arab Saudi hari ini tidak pun berjaya menjamin keadilan, walaupun objektif tertinggi (maqasid) dalam undang-undang menurut Islam ialah keadilan mesti tertegak. Trend ini sewajarnya membimbangkan kita, bilamana perbahasan mendalam jarang sekali didengari dalam kalangan penggerak gerakan Islam, terutamanya yang memiliki rencana politik seperti PAS di Malaysia, terhadap apakah skop aktiviti yang boleh dan wajar sebuah autoriti kekuasaan praktikkan.

Hal ini kerana, perbahasan mengenai skop dan limitasi undang-undang negara dalam perkara yang wajar dan tidak wajar ia lakukan sudah menduduki tempat yang penting sekurang-kurangnya dalam kesarjanaan falsafah politik. Subjek falsafah politik itu sendiri, selepas dihidupkan kembali di Barat melalui penulisan-penulisan seperti Hobbes, Locke dan Rousseau, atau di dunia Islam melalui penulisan Ibn Taimiyah, Ibn ‘Ashur atau al-Kawakibi telah meletakkan persoalan legitimasi politik sebagai antara persoalan utamanya. Melalui istilah ‘legitimasi politik’, saya memaksudkan keadaan sesuatu autoriti politik yang memiliki legitimasi – keabsahan mempraktikkan kuasa – untuk menjalankan kegiatan politik umpamanya melaksanakan undang-undang hukuman ke atas rakyat yang layak dihukum. Legitimasi ini juga, inter alia, mewujudkan tanggungjawab (generate duty) ke atas rakyat untuk mentaati undang-undang yang telah ditetapkan atau berhadapan dengan hukumannya.

2.Para 7Persoalan kewajaran dan legitimasi sebuah autoriti kekuasaan[1] (the state) sewajarnya diambil perhatian serius terutamanya apabila kita melihat trend yang membingungkan pada masa kini, seperti undang-undang yang bertujuan menghukum dosa eskatologikal dalam agama – dosa tidak solat, tidak puasa dan sebagainya. Perkara yang mengganggu kita kala ini ialah kecenderungan menggunakan hujah-hujah keagamaan tanpa melihat anatomi dan mekanisme pergerakan sebuah autoriti kekuasaan bagi menjustifikasi hukuman yang dikenakan.

Sebagai contoh, beberapa negeri di Malaysia telah mewartakan undang-undang bahawa setiap lelaki Muslim yang tidak hadir solat Jumaat tanpa keuzuran akan dikenakan denda atau hukuman, dan hal ini pula, secara tempang, selalu sahaja dijustifikasikan melalui istilah amar ma’ruf nahi munkar. Biarpun tujuan melaksanakan suruhan agama dilihat sebagai sesuatu yang suci, tetapi adalah tidak kena apabila kita terus sahaja mengandaikan bahawa autoriti kekuasaan perlu dan wajar melakukan apa sahaja kononnya demi “mempertahankan Islam”. Tambahan pula, seperti yang telah saya singgung melalui makalah sebelum ini[2], had dan batas pengaruh institusi agama ke atas institusi kepolitikan perlu didefinisikan sebaiknya agar tidak berlaku kezaliman atas nama agama.

Kita seolah-olah sedang menyaksikan satu perkembangan di tanah air, bilamana sebuah dosa di peringkat metafizik cuba dihukum melalui kekuasaan politik. Di titik inilah saya akan berhujah, bahawa kebanyakan dosa keagamaan yang tiada kaitan dengan fabrik kemasyarakatan, yakni dosa si pelaku dengan Tuhannya, adalah tidak boleh dijustifikasi untuk dihukum oleh autoriti kekuasaan. Dengan menyatakan hal ini, saya bukanlah hendak menafikan akan dosanya perbuatan-perbuatan tersebut di peringkat eskatologi – sengaja meninggalkan solat Jumaat tanpa keuzuran, umpamanya – tetapi makalah ini akan bertumpu secara mendalam ke atas persoalan penggunaan radas-radas yang dimiliki autoriti kekuasaan seperti kodifikasi undang-undang bagi menghukum perkara sebegini.

Bagi melakukan hal ini, saya akan mendalami beberapa persoalan penting seputar kewujudan dan justifikasi atas kewujudan autoriti kekuasaan itu sendiri. Dari situ, barulah kita dapat menilai adakah penggunaan ‘rejim sekatan hak’ (coercion)[3] oleh autoriti kekuasaan itu memiliki legitimasi atau tidak, dan setakat mana legitimasi ini berdiri untuk mempraktikkan rejim sekatan hak ke atas autonomi individu-individu yang hidup di bawahnya. Selain itu, penelitian terhadap mekanisme pergerakan sebuah rejim sekatan hak melalui pelaksanaan undang-undang juga wajar disentuh di sini, bagi menjelaskan mengapa kewujudan legitimasi adalah maha penting bagi sebuah autoriti kekuasaan untuk menghindarkan kezaliman dalam aktivitinya. Akhir sekali, saya akan menyimpulkan bahawa dosa keagamaan secara umumnya tidak boleh mewujudkan hak (generate right) untuk sebuah autoriti kekuasaan menghukum para pelakunya.

Pertembungan Autoriti dan Autonomi  

Bernegara bukanlah sesuatu yang tabii (natural) untuk manusia. Negara dan autoriti kekuasaan lainnya terbentuk hasil produk sejarah dan daya taakulan manusia yang semakin berkembang biak membentuk komuniti sejak manusia pertama diciptakan iaituAdam.

3.Para12Ketika Adam diciptakan, Tuhan tidak pernah menceritakan bahawa keturunannya perlu membentuk negara atau apa-apa sahaja autoriti kepolitikan untuk menjaga kebajikan masing-masing sebagai sebuah masyarakat. Tuhan hanya mengajarkan Adam “nama setiap sesuatu” – yang membawa pengertaian daya fikiran secara konsepsual (conceptual thinking) – dan menganugerahkan Adam fakulti rasional agar ia dapat menaakul duduk letak segala sesuatu supaya mampu menegakkan keadilan[4]. Walhasilnya, manusia yang berkembang biak daripada keturunan Adam menggunakan rasionaliti mereka demi mencipta sebuah entiti yang dinamakan “negara”.

Namun, terdapat juga masyarakat yang tidak memiliki konsepsi politik seperti kita yang mengandaikan kemestian wujudnya sebuah “negara”, seperti masyarakat Nüer yang hidup secara komunal[5]. Hal ini membuktikan, bahawa keseluruhan konsep “negara” dan kekuasaan yang dimilikinya bukanlah fitrah manusia, tetapi hasil taakulan rasional dan produk sejarah peradaban.

Kewujudan negara (atau autoriti kekuasaan) dalam perjalanan sejarah manusia adalah sesuatu yang penting, terutamanya apabila ia memiliki kuasa yang boleh dipaksakan ke atas rakyatnya. Perkara pertama yang wajib diteliti bagi menilai keabsahan penggunaan kekuasaan bagi menjalankan sesuatu undang-undang adalah dengan meneliti persoalan paling mendasar bagi sesebuah autoriti kekuasaan, iaitu tabiat (nature) autoriti itu sendiri. Bagaimana tabiat autoriti ini wujud dan apakah implikasinya terhadap kehidupan masyarakat perlu dilihat, kemudian barulah kita boleh membuat keputusan sama ada mekanisme undang-undang yang ia jalankan itu punyai justifikasi atau tidak. Maka, persoalan penting untuk kita persoalkan di peringkat ini adalah; apakah tabiat sebuah autoriti kekuasaan, dan adakah kita perlu akannya?

Kewujudan sebuah autoriti kekuasaan dalam sesebuah masyarakat tidak dapat lari daripada pertembungan autoriti lawan autonomi. Autoriti ialah kekuasaan monopoli sesebuah badan kepolitikan, dan autonomi pula ialah hak dan kebebasan individu untuk melakukan perkara yang ia kehendaki[6]. Hakikat ini berlaku kerana kewujudan autoriti kekuasaan itu sendiri berdiri atas dasar sekatan beberapa hak dan kebebasan individu yang wujud di bawahnya (coercion). Jika tiada autoriti kekuasaan, undang-undang yang sifatnya monopoli tidak akan wujud, lantas memberikan kebebasan mutlak kepada setiap anggota masyarakat itu.

Tetapi, sepanjang sejarah, manusia telah menyedari hakikat bahawa kebebasan mutlak – serta ketiadaan autoriti kekuasaan – adalah mustahil jika ingin maju, jadi kita telah pun membina pelbagai bentuk kekuasaan politik dalam sejarah kemanusiaan. Dengan wujudnya negara dan kuasanya, maka beberapa dimensi kebebasan manusia disekat oleh undang-undang yang ia wujudkan. Sebagai contoh, di Malaysia, kenderaan hanya dibenarkan bergerak di bahagian kiri jalan. Perkara ini, secara dasarnya, mencabul hak kebebasan untuk bergerak, tetapi undang-undang ini pula sebenarnya diwujudkan atas sebab tertentu—untuk mengelakkan kemalangan, umpamanya.

Para pemikir telah cuba melihat pertembungan ini sebagai sesuatu yang penting untuk diselesaikan. Hal ini kerana, selagi ia tidak diselesaikan, kesimpulan yang akan timbul amat mengganggu kita, iaitu kewujudan negara adalah tidak bermoral (immoral), dan inilah yang dipegang oleh para pemikir anarkis seperti Bakunin, Proudhon dan Robert Paul Wolff. Dari kesedaran inilah, pemikir seperti Locke[7], Kant[8] dan yang paling kontemporari Nozick, cuba menggagaskan ide mereka bagi menjustifikasi kewujudan negara dan autoritinya. Mereka bertitik tolak daripada andaian bahawa manusia memiliki kebebasan individu, tetapi masalah akan berlaku jika kesalahan jenayah ke atas orang lain tidak diadili oleh sebuah kuasa yang absah dan berautoriti secara monopoli dan absah untuk semua lapisan masyarakat.

4.Para 18Oleh kerana itu, Locke telah menggariskan bahawa manusia akan berusaha keluar dari state of nature dan menubuhkan negara mereka demi menjamin kebebasan serta hak-hak mereka terpelihara. Nozick pula, di bahagian pertama Anarchy, State and Utopia telah merumuskan bahawa manusia akan membentuk ‘pertubuhan demi perlindungan’ (protective association) yang memiliki hak mencabul beberapa sisi kebebasan asasi untuk memastikan hak individu secara keseluruhan terjaga dengan sebaiknya.

Justeru, kesimpulan yang dicapai adalah manusia memerlukan autoriti kekuasaan bagi menjamin hak mereka dan keadilan masyarakat, walaupun secara dasarnya, autoriti negara dan autonomi individu bercanggah antara satu sama lain.

Satu implikasi penting daripada perbahasan state of nature lawan kewujudan autoriti ini adalah; jika kewujudan autoriti merupakan sesuatu yang perlu dijustifikasi secara kukuh atas dasar ia sebagai dirinya sendiri akan mencabul kebebasan asasi, maka perlulah juga digariskan apakah limitasi dan batas kekuasaan negara melalui undang-undangnya. Garis sempadan penggunaan kuasa undang-undang yang bersifat monopoli itu perlu dijelaskan seterang-terangnya, agar ia hanya akan bertindak untuk menangani ketidakadilan, bukannya terus-terusan tanpa had mencabul kebebasan asasi atas nama “undang-undang negara” atau, lebih parah, “maslahah” yang disalah tanggap. Dimensi inilah yang seharusnya kita telusuri selepas meninjau perbahasan autoriti lawan autonomi yang wujud dalam sesebuah autoriti kekuasaan.

Maka, dari sinilah para pemikir terutamanya dalam falsafah politik liberal, sebagai contohnya, menggariskan di manakah kekuasaan negara perlu diletakkan hadnya vis-à-vis kebebasan individu. Hal inilah yang dilakukan Rawls umpamanya, ketika menghuraikan tentang prinsip keadilan pertama beliau[9]. Bahkan, Nozick ketika cuba menjustifikasi kewujudan autoriti, beliau tiba kepada kesimpulan bahawa autoriti negara yang boleh dijustifikasi hanyalah ultra-minimal state, dan bentuk autoriti yang lebih ekstensif daripada itu akan mengakibatkan pencabulan hak dan, seterusnya, ketidakadilan[10].

Daripada kerangka-kerangka teori yang wujud daripada hasil penaakulan para filasuf seperti inilah, saya kira amat perlu untuk kita menilai kembali bagaimana pelaksanaan undang-undang serta justifikasinya di negara kita. Kepentingan teori politik di peringkat teori yang abstrak mungkin saja tidak dapat digambarkan secara sekali pandang seperti perbahasan tentang teknikaliti undang-undang; tetapi teorilah yang akan membantu kita untuk membentuk naratif rasional terhadap apa sahaja yang berlaku di sekeliling kita, serta menyediakan landasan epistemologi untuk memikirkan isu yang berlaku secara berstruktur dan kemas.

Titik dan fokus inilah yang saya kira tercicir daripada naratif kekuasaan gerakan Islam kontemporari yang memikul rencana politik bersama mereka. Pada mereka, seolah-olah kekuasaan yang dicari dan dikejar itu merupakan sesuatu yang menghalalkan kodifikasi undang-undang menurut selera pemerintah, dan disebabkan mereka orang yang kuat beragama, mereka fikirkan bahawa menggunakan undang-undang sebagai ‘paksaan agama’ secara pukal dan semberono akan membawa kepada keadilan.

Walhal yang berlaku adalah sebaliknya. Had dan batas kekuasaan, yang bertitik tolak daripada penaakulan kritis terhadap kewujudan kekuasaan itu sendiri adalah perkara dasar yang maha penting yang perlu difikirkan kita, terutamanya dalam masa-masa mendesak ini ketika mana autoritarianisme atas nama agama mula subur merebak.


Hazman Baharom adalah graduan Ekonomi dan Pengajian Sosial di University of Manchester, UK dan calon Sarjana bagi Pengajian Asia Tenggara di University of Washington, US. Beliau juga merupakan Intern di Islamic Renaissance Front.

 

[1] Saya akan menggunakan perkataan ‘autoriti kekuasaan’ bagi menterjemah perkataan Bahasa Inggeris “the state”. Cara ini, pada saya, lebih sesuai berbanding menggunakan perkataan ‘negeri’/’negara’ dalam Bahasa Melayu dengan konotasi moden perkataan-perkataan tersebut. Untuk pengenalan kepada perkataan “the state” secara etimologi dan semantik serta konotasinya dalam kesarjanaan, lihat Quentin Skinner (1989), ‘The State’, Contemporary Political Philosophy, eds. Robert Goodin & Philip Pettit.

[2] Lihat Hazman Baharom, ‘Meninjau Semula Hubungan Kuasa dan Institusi Agama’, Wacana Pemikiran Reformis Jilid II, ed. Ahmad Farouk Musa (2014).

[3] Saya akan menggunakan istilah ‘rejim sekatan hak’ untuk menterjemah perkataan Bahasa Inggeris “coercion”. Hal ini kerana, secara konseptual, coercion amat berkait dengan sekatan ke atas kebebasan negatif menurut skema Isaiah Berlin, bilamana seseorang individu disekat kebebasannya untuk melakukan sesuatu. Friedrich Hayek juga telah menghuraikan makna coercion yang, saya kira konklusif, melalui makalahnya “Freedom and Coercion”.

[4] Lihat Quran, 2:30 dan Muhammad Asad, The Message of The Quran.

[5] Lihat E.E. Evans-Pritchard (1940), The Nuer: A Description of the Modes of Livelihood and Political Institutions of a Nilotic People.

[6] Lihat Robert Paul Wolff (1970), In Defense of Anarchism

[7] Lihat John Locke, The Two Treatises

[8] Lihat Immanuel Kant, Metaphysics of Morals, terutamanya apabila beliau membahaskan keabsahan kewujudan negara melalui penjanaan hak (create rights) dan menjaga kedua-dua dimensi empirical possession dan intelligible possession.

[9] Lihat John Rawls (1971), A Theory of Justice

[10] Perlu saya catatkan di sini, bahawa dasar keadilan antara Nozick dengan Rawls adalah sangat berbeza, walaupun saya meletakkan ide mereka secara bersama di dalam satu perenggan. Nozick melihat pegangan terhadap sesuatu secara individu adalah dasar keadilan, sedangkan Rawls melihat dengan sisi yang lain.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022