Di Mana Keadilan Dalam Perundangan Islam?

January 1, 2013


5 Januari 2013, 2pm – 5pm
Hotel Holiday Villa, Alor Star
Pendaftaran: http://perundanganislam2.eventbrite.com/

Seringkali, umat Islam dalam usahanya menyatakan kepatuhannya kepada agama akan melaungkan bahawa perundangan Islam adalah asas sesebuah negara. Bukanlah menjadi sesuatu yang baru bagi isu seperti hudud kerap kali dilaungkan dan dituntut berulang-ulang kali agar ia dilaksanakan dengan alasan bahawa ia adalah tuntutan agama.

Malaysia, sebuah negara majmuk yang berteraskan demokrasi yang menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi tidak terlepas dari persoalan ini.

Dalam kehangatan menuntut hudud dilaksanakan, kebanyakan umat Islam terlupa atau tidak mengambil endah bahawa institusi polis masih dibelenggu korupsi dan kekebelan dari kebertanggungjawaban.

Dalam kehangatan menuntut hudud dilaksanakan, kebanyakan umat Islam terlupa atau tidak mengambil endah bahawa sistem kehakiman masih banyak kepincangan yang menjadikan usaha untuk memastikan ia bebas masih di jalan yang panjang.

Dalam kehangatan menuntut hudud dilaksanakan, kebanyakan umat Islam terlupa atau tidak mengambil endah bahawa masih ramai wanita yang gagal mendapat keadilan di Mahkamah Syariah dalam urusan perceraian, nafkah dan penjagaan anak yang jelas memberikan kesan yang negatif dalam pembinaan sesesuah institusi keluarga yang baik yang menajdi teras kekuatan sesebuah negara.

Adakah perundangan Islam hanya berlegar di sekitar isu hudud? Apakah falsafah sebenar di sebalik undang-undang Islam dan hukuman dalam Islam? Apakah matlamat sebenar undang-undang Islam?

Persoalan ini antara yang akan diperbincangkan dalam forum ‘Di Mana Keadilan Dalam Perundangan Islam? Dianjurkan bersama oleh Projek Dialog dan Islamic Renaissance Front, forum ini akan menampilkan Dr Wan Salim, Yang DiPertua, Persatuan Ulama Pulau Pinang; Fadiah Nadwa Fikri, Lawyers for Liberty; dan Muhammad Afiq Noor, Islamic Renaissance Front. Rizqi Mukhriz, setiausaha Islamic Renaissance Front akan menjadi moderator.

Forum ini akan berlangsung pada 5 Januari 2013 bertempat di Hotel Holiday Villa, Alor Star dari jam 2.00 hingga 5.00 petang.

Sila hubungi Ehsan Shahwahid untuk sebarang pertanyaan di talian: 012 263 1160, atau email [email protected]com

http://perundanganislam2.eventbrite.com/