Nostalgia Kolonial Macron: Projek Islamik anti-Muslim

February 17, 2022

Salman Sayyid  || 17 Februari 2022
Terjemahan: Ahmad Muziru Idham

Dalam satu lagi langkah Islamofobia, rejim Perancis bersedia untuk menubuhkan sebuah badan baharu bagi menguruskan penduduk Muslim terbesar di Kesatuan Eropah, iaitu Forum Islam (The Forum of Islam) di Perancis. Forum ini akan terdiri daripada orang-orang yang dipilih oleh Paris, di mana ia bukannya untuk mewakili masyarakat Muslim tetapi untuk membantu Macron membentuk Islam mengikut imej Perancis sendiri.

Perancis Sekular Membiayai Sekolah-Sekolah Kristian di Negara Muslim

Macron dan para menterinya menegaskan bahawa forum tersebut akan menghalang ekstremisme, mengekang pengaruh kuasa asing dalam hal ehwal agama minoriti di Perancis dan memastikan agar umat Islam mematuhi tuntutan-tuntutan sekularisme di negara itu dalam kehidupan awam. Sukar untuk justifikasi ini diambil secara serius apabila pada masa yang sama, rejim Perancis menggandakan pembiayaan sekolah-sekolah Kristian di negara yang mempunyai populasi Muslim yang besar.

Bagi negara yang mengaku dirinya sebagai sekular seperti Perancis untuk membiayai sekolah-sekolah Kristian asing nampaknya bercanggah dengan dasar terhadap Islam dan warganegara Muslim di negara sendiri. Malangnya, kita semua sudah terbiasa dengan piawaian berganda (double standards) oleh kuasa-kuasa Barat sehinggakan percanggahan sebegitu jarang mengejutkan kita lagi.

Islamofobia Menjadi Sebuah Pendirian Totok

Kuasa Barat mempunyai sejarah yang panjang dalam penyebaran demokrasi di dalam negara dan menyokong kezaliman serta para penjahat di luar negara, dan seseorang boleh berhujah bahawa  Perancis terlibat dalam kebiasaan kepura-puraannya yang tidak masuk akal ini. Namun begitu, semenjak awal tahun 1990-an, rejim di Perancis telah berturut-turut memulakan perang salib bagi menentang ekspresi keIslaman.

Ramai penganalisis beranggapan bahawa Islamofobia Macron hanyalah sekadar taktik pilihan raya. Walau bagaimanapun, pandangan ini mengabaikan bagaimana Islamofobia tidak sekadar berhenti di peringkat pra-pilihan raya selepas kempen pilihan raya selesai semata-mata, kerana kempen yang seterusnya memanjangkan lagi Islamofobia tersebut.

Akibat daripada serangan berterusan ini, Islamofobia telah merebak daripada menjadi intipati daripada terhadap parti berhaluan kanan kepada menjadi pendirian standard bagi sebahagian besar negara dan masyarakat Perancis merentasi spektrum politik.

 

Islamofobia sedang diarusperdanakan di seluruh dunia

Kesan normalisasi Islamofobia berkisar daripada gangguan polis dan keganasan terhadap orang Islam, diskriminasi dalam peluang pekerjaan, penggunaan pelbagai proses pentadbiran untuk mengharamkan organisasi sivil dan hak asasi manusia, termasuklah – sebagai contoh – Kolektif Melawan Islamofobia di Perancis, yang merekod dan melaporkan tentang rasisme yang ditujukan kepada Muslim. Jadi, bukan sahaja pertubuhan Perancis mempromosikan dasar Islamofobia, bahkan mereka telah berusaha untuk mendiamkan mereka yang memerangi Islamofobia dan meningkatkan kesedaran tentang akibatnya.

Melihat peningkatan Islamofobia di Perancis sebagai episod terpencil adalah merupakan suatu kesilapan. Islamofobia sedang diarusperdanakan di seluruh dunia. Rejim ultra-nasionalis di seluruh dunia semakin meluahkan ketakutan dan keinginan mereka melalui bahasa Islamofobia. Pengarusperdanaan ini bermakna meningkatkan penumpuan dalam justifikasi yang digunakan oleh golongan Islamofobia untuk menjelaskan tindakan diskriminasi mereka.

Apa yang berbahaya mengenai pengarusperdanaan Islamofobia di Perancis bukan sahaja ia secara langsung mengancam kehidupan seramai enam juta orang Islam, malahan ia telah dipupuk selama beberapa dekad dalam demokrasi liberal yang tersergam dan dikenali ramai. Maka, hal tersebut memaparkan bahawa Islamofobia bukanlah sekadar dikaitkan dengan kedidaktoran tentera, rejim totalitarian, koloni penjajah, atau dinasti yang zalim. Liberalisme dan demokrasi telah bersekongkol dengan kolonisasi atau penjajahan dan rasisme, justeru tidak ada sebab untuk mereka tidak boleh terlibat dengan Islamofobia.

Dasar Islamofobik sebagai sebuah bentuk rasisme

Islamofobia bukannya kebencian terhadap Muslim atau pertikaian tentang perkara akidah. Ia adalah sejenis rasisme yang menyasarkan tingkah laku dan kumpulan yang dianggap sebagai mempamerkan keIslaman. Islamofobia bukan hanya mengenai serangan terhadap Muslim di jalanan oleh individu tertentu; Islamofobia juga adalah mengenai diskriminasi oleh institusi. Rasisme bukanlah sekadar kepercayaan yang orang ramai bawa dalam kepala mereka; sebaliknya, ia adalah sistem pemerintahan. Apa yang penting kepadanya bukanlah kewujudan “kaum”, tetapi proses perkauman.

Ia adalah sebuah proses yang menukar kumpulan sosial kepada kumpulan biologi. Sebagai contoh, apabila Muslim melalui kawasan lapangan terbang, terdapat keseluruhan sistem pengawasan yang mengenal pasti mereka mengikut cara mereka berpakaian, penampilan mereka, negara mereka datang atau pergi, apa yang mereka bawa dalam bagasi tangan, dan cara mereka bercakap. Sistem pengawasan mengenal pasti Muslim bukannya berdasarkan status ketaatan beragama atau niat dan ciri-ciri individu, tetapi berdasarkan sama ada mereka memiliki tanda-tanda keIslaman ataupun tidak.

Walau bagaimanapun, keIslaman bukanlah semata-mata soal hijab, janggut, dan makanan halal; ia semakin dilihat sebagai sebuah identiti yang berkait di seluruh dunia dan bukannya terkandung dalam negara-bangsa. Seorang Muslim dipaparkan sebagai anti-nasional; dia dijadikan sebagai tanda tidak setia, entiti asing yang tidak dapat diubah lagi, dan suatu tanda sebuah negara itu tidak sempurna.

Sebuah nostalgia penjajah

Sekularisasi bermaksud menghancurkan keIslaman. Sekularisasi bukanlah pemisahan antara “gereja” daripada negara; apabila berkaitan dengan Muslim, ia bermaksud pengilhakan (annexation) oleh negara terhadap institusi Islam dan proses nasionalisasi wajib mereka. Percubaan untuk menasionalisasikan umat Islam dan memisahkan mereka daripada sebarang bentuk kesatuan ummah adalah merupakan sebuah ciri Islamofobia di seluruh dunia.

Ia bukanlah kepercayaan sekularisme yang mendorong rejim Perancis, tetapi ia digerakkan oleh nostalgia kolonial. Paris tidak dapat menerima kemerosotannya di pentas dunia dan melihat kegigihan sifat keIslaman yang degil sebagai suatu penghinaan terhadap bayangannya sendiri. Kemaraan Islamofobia di Perancis sepertimana di tempat lain di dunia menandakan penggantian janji kewarganegaraan inklusif dengan pemerintahan kolonial yang bersifat aperteid.

Sekiranya Forum Islam di Perancis ini bertujuan mendamaikan umat Islam dengan identiti Perancis, ia sepatutnya mempunyai struktur yang mewakili suara Muslim dan bukannya bersubahat dengan pembungkaman umat Islam. Ia tidak akan menjadi badan yang dilantik oleh rejim. Ia akan menerima hakikat bahawa masalah Islamofobia adalah masalah di Perancis, bukannya masalah umat Islam. Ia akan menerima hakikat bahawa Islamofobia adalah sejenis rasisme yang perlu ditentang, bukannya didorong. Ia akan mengiktiraf perjuangan menentang Islamofobia bukanlah sekadar perjuangan untuk keadilan bagi umat Islam atau mereka yang dianggap sebagai Muslim ataupun sekutu orang Islam, sebaliknya ia adalah perjuangan untuk memelihara dan mengembangkan kebebasan yang diperoleh dengan jerih payah untuk semua pihak.


Dr Salman Sayyid adalah Professor Pemikiran Dekolonial dan Retorik (Professor of Decolonial Thought and Rhetoric) di University of Leeds, United Kingdom. Beliau merupakan penulis bagi buku “Recalling the Caliphate:
Decolonisation and World Order” (yang diterjemahkan dan bakal diterbitkan oleh IRF kepada Himbauan
Khilāfah: Dekolonisasi dan Tatanan Dunia). Artikel ini adalah terjemahan daripada esei asal yang bertajuk: Macron's colonial nostalgia: anti-Muslim Islamic project.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/nostalgia-kolonial-macron-projek-islamik-anti-muslim/